Scott Parker Tolak QPR & Pilih Berpindah Ke Fulham

Diterbitkan: Selasa, 20 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Scott Parker
Scott Parker

PEMAIN England, Scott Parker memutuskan untuk menolak pelawaan menyertai QPR yang kini dikendalikan oleh bekas bosnya di Tottenham Hotspurs dengan menandatangani kontrak tiga tahun bersama sebuah lagi kelab London, iaitu Fulham.

Pengurus QPR Harry Redknapp, cuba memujuk Parker agar menyertainya dalam kempen untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris setelah kelab itu tersingkir ke divisyen lebih bawah.

Sebaliknya Parker, 32, membuat keputusan untuk menyertai kelab pimpinan Martin Jol dengan harapan ia akan dapat membuka peluang yang lebih cerah baginya beraksi bersama skuad England pada Piala Dunia tahun depan di Brazil.

Fulham kini merupakan kelabnya yang kelima. Untuk rekod, kelima-lima kelab ini adalah kelab yang berpusat di kota London.

Parker memulakan kerjayanya di Charlton sebelum berpindah ke Chelsea. Dia kemudian dibeli oleh Newcastle, tetapi selepas itu berpindah pula ke West Ham di mana dia mencipta nama sebagai pemain tengah sehingga dipilih sebagai pemain terbaik tahunan oleh Persatuan Penulis-Penulis Bolasepak England.

Apabila West Ham tersingkir dari Liga Perdana, Parker berpindah ke Spurs dan di situ bintangnya terus cemerlang sehingga dilantik sebagai kapten England dalam perlawanan menentang Belanda.

Pada aksi Euro 2012, Parker bermain dalam setiap perlawanan peringkat kumpulan. Keseluruhannya Parker mewakili England sebanyak 18 kali dan bermain dalam lebih 300 perlawanan liga perdana.

PROFIL KERJAYA BOLASEPAK SCOTT PARKER:

> Charlton (1997-2004)

> Chelsea (2004-2005)

> West Ham (2007-2011)

> Tottenham (2011-2013)

> Fulham (2013)

Tags / Kata Kunci: Scott Parker , QPR , Fulham , EPL

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan