ATM Pertaruh Gandingan Hai-O Dan Nizaruddin Bertemu Sime Darby

Diterbitkan: Jumaat, 16 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempertaruhkan gandingan Hairuddin Omar (Hai-O) dan Nizaruddin Yusof pada pertemuan Piala Malaysia pertama mereka menentang Sime Darby Selasa depan.

Ketua Jurulatihnya, B. Sathianathan berkata ia berikutan prestasi pemain import Marlon Alex James berada pada tahap kurang memuaskan kerana masih dibelenggu kecederaan.

"Persiapan berjalan dengan lancar, tapi satu yang kurang memuaskan saya adalah barisan depan kita, kerana Marlon tak akan diturunkan untuk perlawanan pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang dan jentera serangan kita mungkin sedikit pincang.

"Saya harap pemain lain ambil tanggungjawab yang selalunya digalas oleh Marlon. Saya sedikit lega kerana Hai-O kembali menunjukkan taringnya," katanya di sini hari ini.

Pada aksi persahabatan dengan Kelantan malam Rabu, ATM berjaya menundukkan juara dua kali Piala FA itu 1-0 menerusi jaringan Venice Elphi Danny Kaya pada minit ke-61 yang menyudahkan hantaran lintang Christie Jayaseelan.

Sathianathan berkata jentera pertahanan ATM yang sering bocor pada minit-minit akhir perlawanan perlu diperkemaskan dengan lebih baik.

"Pada 10 minit terakhir kita tengok Kelantan banyak melakukan serangan dan kita sering bocor di bahagian tengah. Kita kena baiki barisan pertahanan," katanya mengulas perlawanan malam tadi.

Bagaimanpun pengendali berusia 55 tahun itu yakin ATM mampu mara sehingga ke final dan berharap dapat bertemu Kelantan pada perlawanan akhir itu bagi menebus kekalahan mereka di tangan gergasi pantai timur tersebut pada saingan Piala Malaysia musim lepas.

"Kami gagal jika tak berjaya melangkah ke final dan saya harap kita dapat bertemu Kelantan pada perlawanan akhir itu nanti," katanya.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan