Andai Che Mat Jusoh Undur Diri

Diterbitkan: Jumaat, 16 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Struktur Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dijangka akan mengalami perubahan besar apabila badan bola sepak negeri itu mengadakan Kongres Tahunan Luar Biasa bagi memilih pucuk pimpinan baharu persatuan itu pada 14 Sept.

Timbalan Presiden PBSNT Sheikh Ahmad Tajuddin berkata pada persidangan tahunan luar biasa itu nanti, dua jawatan utama dalam persatuan itu dijangka akan menjadi fokus utama persidangan iaitu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang kini masing-masing disandang oleh Datuk Che Mat Jusoh dan beliau sendiri.

"Saya dah difahamkan Datuk Che Mat sendiri mahu mengundur diri dan tidak mahu mempertahankan jawatan itu lagi kerana ingin memberi laluan kepada orang baharu.

"Lebih 15 tahun kami memegang jawatan itu dan pelbagai pencapaian manis telah kami kecapi besama PBSNT seperti memenangi Piala Malaysia, Piala FA dan sebagainya," katanya.

Sheikh Ahmad merangkap Setiausaha PBSNT berkata persidangan untuk memilih jawatankuasa baharu sepatutnya pada tahun hadapan.

Bagaimanapun, katanya, PBSNT mengambil keputusan untuk mengadakan persidangan luar biasa itu pada 14 Sept bagi memudahkan pasukan Terengganu membuat persiapan menghadapi Liga Malaysia musim hadapan dengan lebih mantap.

Beliau berkata persidangan luar biasa itu akan disertai semua badan gabungan persatuan-persatuan bola sepak di daerah-daerah kecuali daerah Marang.

Sheikh Ahmad berkata semua badan gabungan akan menghantar calon-calon mereka secara sulit untuk diserahkan kepada satu jawatankuasa penyemakan dan pemilihan bebas.

Katanya musim bola sepak 2013 masih belum selesai, oleh itu dalam bulan puasa pun pasukan Terengganu menjalani latihan menghadapi Piala Malaysia.

"Terengganu terlepas Piala FA manakala Liga Super pun kami muram dan yang tinggal hanya Piala Malaysia. Jadi kita harap pemain yang sedia ada mampu berjuang agar dapat memperoleh kenangan manis Piala Malaysia sebelum kami mengundur diri," katanya.

Sementara itu spekulasi di laman sosial ada menyebut beberapa nama sebagai calon Presiden PBNST yang baharu antaranya Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri Rozi Mamat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Daerah Kemaman Datuk Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan