KFA, Cardiff City Meterai MOU Kerjasama

Diterbitkan: Khamis, 15 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Persatuan Bola sepak Kedah (KFA) akan bekerjasama dengan pasukan Liga Perdana Inggeris, Cardiff City F.C. dalam usaha meningkatkan prestasi pasukan bola sepak negeri dan pengurusannya.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak berlangsung di sini malam tadi. KFA diwakili Setiausaha Kehormat dan Bendahari Kehormat KFA Aminuddin Omar manakala Cardiff City F.C. diwakili Pengarahnya Datuk Lye Ek Seang.

Majlis tersebut disaksikan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang juga presiden KFA serta Pengerusi dan Ketua Eksekutif Berjaya Corporation Berhad Tan Sri Vincent Tan yang juga pemilik Cardiff City F.C.

Mukhriz dalam ucapannya berkata kerjasama hasil MoU itu akan dibincangkan dengan segera dan KFA akan mendapat banyak bantuan daripada kelab Liga Perdana Inggeris itu terutama dalam aspek kejurulatihan dan pendekatan terkini dalam bola sepak.

Katanya kedua-dua pihak juga akan berbincang soal pertukaran pemain selain latihan bersama sama ada di Kedah atau di Cardiff City.

"Juga ada cadangan untuk membina akademi bola sepak melibatkan kedua-dua pihak. Ia bukan hanya untuk negeri Kedah tetapi juga untuk zon utara. Prasarana di akademi ini akan menguntungkan negeri Kedah...kerajaan negeri juga sedang cuba untuk mendapatkan penajaan daripada pelbagai pihak," katanya.

Dalam sidang media selepas itu, Mukhriz berkata pihaknya akan mengenal pasti tapak yang sesuai untuk pembinaan akademi itu yang mungkin dibina di tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) di Sungai Petani.

"Beliau (Tan) banyak pengalaman setelah menjadi pemilik Cardiff City. Mungkin Cardiff City mempunyai kaedah untuk meningkatkan prestasi pemain dan jurulatih selain pengurusan. Saya yakin bahawa itu akan membantu KFA.

"Yang penting adalah prasarana yang akan ditambah baik dengan suntikan tenaga mahir dan jurulatih yang dikenal pasti oleh Tan Sri sebagai pemilik Cardiff City. Ia bukan hanya tentang pemain tetapi bagaimanapun kita mengurus sebuah pasukan bola sepak," katanya.

Sementara itu, Tan berkata beliau berharap rundingan kerjasama untuk pembinaan akademi bola sepak itu diadakan secepat mungkin dan jika tapaknya sesuai ia boleh dibina dalam masa terdekat.

"Akademi bola sepak ini akan menjadi pelaburan peribadi saya sendiri," katanya.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan