SAM Desak FAM Ambil Tindakan Terhadap Penganjur

Diterbitkan: Selasa, 13 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) kesal dengan layanan buruk terhadap media tempatan oleh penganjur perlawanan persahabatan antarabangsa antara Malaysia dan Barcelona FC di Stadium Shah Alam, Sabtu lepas.

Justeru, SAM meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan terhadap penganjur, BSC Soccer Malaysia Sdn Bhd, kerana memberi layanan berat sebelah kepada media tempatan berbanding media asing.

Presiden SAM, Ahmad Khawari Mohd Isa berkata, pihak persatuan telah menerima banyak aduan daripada media tempatan mengenai layanan kasar dan tidak adil oleh pihak penganjur.

"Saya amat kecewa dengan kegagalan pihak penganjur menyediakan kemudahan dan keselamatan untuk petugas media tempatan ketika membuat liputan khususnya perlawanan persahabatan melibatkan pasukan bola sepak luar negara," katanya kepada Bernama di sini Isnin.

Ahmad Khawari berkata, SAM memandang serius dengan adanya beberapa kejadian di mana ada segelintir petugas media tempatan yang dikasari oleh pengawal keselamatan yang digunakan pihak penganjur ketika membuat liputan.

Barcelona FC memenangi perlawanan itu dengan keputusan 3-1. Perlawanan tersebut dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil tetapi ditukar ke Stadium Shah Alam pada saat-saat akhir ekoran keadaan padang yang tidak memuaskan.

Sementara itu, Pengarah Urusan BSC Soccer Malaysia, Affendi Jagan Abdullah ketika dihubungi Bernama berkata, satu siasatan terperinci akan diadakan untuk mengenal pasti punca masalah seperti didakwa itu telah berlaku.

"Terdapat kawasan-kawasan di stadium dikawal sendiri oleh pasukan keselamatan stadium. Ada juga kawasan dikawal oleh pasukan keselamatan Barcelona FC.

"Kami juga mempunyai pasukan keselamatan sendiri yang ditempatkan di pintu dan laluan masuk ke stadium. Kami perlu tahu apa dan di mana ia berlaku dan siapa bertanggungjawab sebelum membuat kenyataan," katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: SAM , Malaysia , Barcelona FC , Stadium Shah Alam

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan