Kim Swee 'Intai' Pemain Beraksi Di Piala Malaysia Untuk Harimau Muda A

Diterbitkan: Rabu, 31 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Saingan Piala Malaysia yang bermula 20 Ogos, akan menjadi pentas bagi pengendali Harimau Muda A Ong Kim Swee 'mengintai' pemain untuk disenaraikan dalam skuad bawah 23 tahun negara.

Kim Swee berkata beliau akan menyaksikan empat perlawanan Piala Malaysia bagi memilih pemain negeri dan kelab untuk diserap dalam pasukan bimbingannya menghadapi dua kejohanan besar tahun ini, iaitu Pestabola Merdeka pada September dan Sukan SEA di Myanmar, Disember ini.

Katanya walaupun beberapa nama seperti Zubir Azmi (Terengganu), K. Reuben (ATM), Nik Shahrul Azim Ab Halim (Kelantan) dan Mohd Nazmi Faiz Mansor (PKNS) berada dalam percaturannya, namun pemilihan pemain bergantung kepada prestasi semasa mereka.

"Siapa pun dalam radar pilihan saya tidak bermakna mereka akan terus dipilih. Saya akan buat keputusan berdasarkan prestasi semasa kesemua pemain bawah 23 tahun yang beraksi dalam Piala Malaysia.

"Mereka yang dipilih akan dipanggil pada hujung Ogos. Saya tidak mahu pemain yang sering disebut-sebut menyertai skuad (Harimau Muda A) mengambil mudah perkara ini. Saya mahu mereka tunjukkan aksi terbaik pada Piala Malaysia nanti," katanya ketika dihubungi Bernama.

Empat perlawanan awal peringkat kumpulan Piala Malaysia dijadual pada 20, 24, 27 dan 31 Ogos sebelum berehat dua minggu untuk memberi laluan kepada Pestabola Merdeka dari 4 hingga 15 September.

Kim Swee berharap pemain yang bakal tersenarai itu dapat memperkuatkan skuad Harimau Muda A bagi meraih kejuaraan pada kempen Pestabola Merdeka dan mempertahankan pingat emas di Sukan SEA Myanmar.

"Pemain yang akan beraksi pada Pestabola Merdeka, kemungkinan besar bermain di Sukan SEA. Jadi saya mengharapkan ada keserasian antara mereka sebelum saingan di Myanmar," katanya.

Skuad Harimau Muda A yang kini berada di Slovakia, dijangka pulang ke tanah air pada Rabu depan, sempena Aidilfitri dan menyambung latihan di ibu negara sebagai persediaan menghadapi Pestabola Merdeka.

Untuk rekod, Vietnam merupakan juara bertahan Pestabola Merdeka pada 2008. Kejohanan bola sepak tertua di Asia itu, tidak dipertandingkan pada 2009 hingga 2012. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan