Kamarul Afiq Sasar Johor DT Mampu Ke Final Piala M'sia 2013

Diterbitkan: Isnin, 29 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kapten pasukan Johor Darul Takzim (Johor DT), Kamarul Afiq Kamaruddin menyasarkan pasukan kelab selatan tanah air itu mampu melangkah ke final Piala Malaysia, musim ini.

Bekas pertahanan Sime Darby FC itu yakin sasaran berkenaan mampu dicapai berdasarkan latihan intensif pasukan berkenaan selepas berakhirnya saingan Liga Super, 6 Julai lepas.

"Saya berharap pasukan Johor DT akan melangkah ke final pada tahun ini. Insya-Allah dengan persiapan rapi yang dibuat sejak berakhirnya Liga Super, saya rasa sasaran ke final itu mampu dicapai," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis undian Piala Malaysia 2013 di sini, malam Sabtu.

Pada majlis undian di Menara TM, pasukan berstatus bintang itu diundi dalam kumpulan B bersama tiga pasukan kelab lain iaitu Selangor PKNS FC, T-Team dan Felda United FC.

Tiga pasukan berkenaan layak beraksi secara automatik ke Piala Malaysia 2013 manakala Felda United FC layak hasil kemenangan 1-0 ke atas Pos Malaysia FC pada penentuan kalah mati di Stadium Nasional Bukit Jalil, 10 Julai lepas.

Pada masa yang sama, Kamarul Afiq menuntut rakan sepasukan untuk tidak memandang rendah keupayaan tiga pasukan dalam kumpulan berkenaan yang mempamerkan aksi tidak menentu dalam saingan Liga Super musim ini.

"Bagi saya, halangan sentiasa ada memandangkan mana-mana pasukan yang berjumpa Johor DT akan memberikan fokus sepenuhnya untuk menewaskan kami dan kami sentiasa bersedia untuk menghadapi tentangan itu.

"Apa yang lebih bagi saya adalah rakan sepasukan akan memberikan persembahan terbaik pada perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia nanti," katanya.

Perlawanan pertama peringkat kumpulan Piala Malaysia hanya dijadual bermula pada 20 Ogos ini untuk memberi laluan kepada pasukan Kelantan dan ATM yang terlibat dalam Kejohanan Bola Sepak Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) - Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada 12 dan 13 Ogos.

FAM masih mengekalkan format lama dengan dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan itu layak secara automatik ke peringkat suku akhir manakala perlawanan akhir dijangka berlangsung pada 3 November ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan