Harimau Muda A Tewas Kepada Jepun 0-4

Diterbitkan: Sabtu, 13 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KAZAN, (Russia): Skuad Harimau Muda A terpaksa akur dengan kehebatan Jepun apabila dikecewakan 4-0 pada perlawanan suku akhir di temasya Sukan Universiti Dunia ke-27 (Universiade 2013) di Stadium Trudovye Rezervy, Jumaat.

Jepun, selaku juara bertahan, melakukan gerakan agresif sebaik wisel permulaan dengan membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi rembatan Jin Izumisawa dari luar kotak penalti.

Selang seminit kemudian, pasukan 'Matahari Terbit' itu terus melakukan asakan dan mengucar-kacirkan benteng pertahanan Malaysia dengan gol kedua menerusi Terohito Nakagawa.

Pada badak kedua, anak buah Ong Kim Swee bukan sahaja gagal menyekat pergerakan jentera serangan Jepun malah gagal menandingi rentak permainan pihak lawan.

Jepun menambah gol ketiga menerusi kaptennya Kazuki Nagasawa Akasaki pada minit ke-80 dan tiga minit kemudian Shuhei Akasaki mengesahkan tempat pasukan itu ke separuh akhir.

Untuk rekod Jepun memburu kejuaraan kali keenam di sini selepas muncul juara pada 1995, 2001, 2003, 2005 dan 2011.

Malaysia akan menentang Ireland atau Perancis pada perlawanan penentuan kedudukan kelima hingga kelapan, Ahad ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan