Liga Super: Lions XII FC Hampiri Gelaran Liga Super

Diterbitkan: Rabu, 26 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pasukan jemputan dari Singapura, Lions XII FC semakin menghampiri kejuaraan Liga Super buat kali pertama walaupun terikat seri 1-1 pada perlawanan menentang Perak di Stadium Perak, Ipoh, Isnin malam.

Keputusan seri itu meletakkan anak didik V. Sundramoorthy terus unggul di persada Liga Super dengan kutipan 40 mata, berkelebihan empat mata ke atas Selangor yang merampas tangga kedua dari Johor Darul Takzim (Johor DT), dengan saingan liga berbaki dua perlawanan.

Pasukan dari Singapura itu yang muncul naib juara Liga Super musim lepas di belakang Kelantan, mampu meraih kejuaraan lebih awal sekiranya mengalahkan Felda United di laman sendiri pada perlawanan ke-21 liga, Selasa depan.

Pada perlawanan di Ipoh itu, skuad Seladang berada di hadapan menerusi jaringan Paulo Rangel pada minit ke-58 sebelum Shahfiq Ghani menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat pada minit ke-75.

Pasukan tuan rumah bagaimanapun ditimpa nasib malang selepas pemain mereka, Khairi Kiman diarah keluar padang oleh pengadil perlawanan kerana mengutip kad kuning kedua pada minit-minit terakhir separuh masa kedua.

Selangor pula merampas tangga kedua dari Johor DT selepas berjaya mengalahkan 'adik' mereka, Selangor PKNS FC dengan keputusan 2-1 di Stadium Shah Alam.

PKNS FC terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan Mohd Nizad Ayub pada minit ke-14 sebelum Raimi Mohd Nor meledak dengan dua gol masing-masing pada minit ke-62 dan 70.

Johor DT pula turun satu anak tangga ke kedudukan ketiga liga selepas terikat seri 1-1 ketika melayan kunjungan Felda United FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Skuad 'Harimau Selatan' berada di hadapan menerusi jaringan Haidin Azman pada minit ke-64 sebelum Rudie Ramli menyamakan kedudukan untuk wakil kelab Lembah Klang itu pada minit ke-82.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut mengutip satu mata selepas terikat seri 1-1 dengan Terengganu di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban.

Gol ATM dijaringkan Christie Jayaseelan pada minit ke-65 manakala Farderin Kadir menyumbangkan gol untuk Terengganu pada minit ke-79.

Kelantan pula memintas kedudukan Pahang di tangga kelima liga selepas mengalahkan pasukan itu 2-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu.

Dua gol skuad 'The Red Warriors' dijaringkan kapten pasukan Mohd Badhri Mohd Radzi pada minit ke-45 dan Mohamad Zamri Ramli pada minit ke-56.

Negeri Sembilan semakin hampir turun beraksi ke Liga Perdana musim depan selepas kalah 1-2 kepada T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Pasukan pelawat terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan menerusi Shahurain Abu Samah pada minit ke-28 sebelum T-Team menjaringkan dua gol masing-masing menerusi sepakan penalti Damir Ibric pada minit ke-73 dan George Boateng (minit ke-83).

Negeri Sembilan terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas penyerang mereka, Ahmad Shakir Mohd Ali dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Mohd Nazri Nazarudin kerana mengasari pertahanan Terengganu, Mazlizam Mohamad pada minit ke-87.-BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Kolumnis

iklan

Iklan