Sarawak Juara Liga Perdana 2013, Naik Ke Liga Super Musim Depan

Diterbitkan: Isnin, 24 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sarawak mengesahkan kejuaraan Liga Perdana musim ini menjadi milik mereka selepas membelasah Kuala Lumpur, 4-0 di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching, malam Isnin.

Kemenangan ke-17 daripada 21 perlawanan yang dicatatkan oleh skuad 'Ngap Sayot' bimbingan Robert Albert itu membolehkan mereka mengumpul 55 mata, berkelebihan empat mata ke atas pencabar terdekat, Sime Darby FC dengan saingan liga berbaki satu perlawanan.

Kekalahan itu pula menyaksikan Kuala Lumpur diturunkan beraksi dalam Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), musim depan bersama wakil kelab Negeri Sembilan, Betaria FC selepas masing-masing menghuni tangga ke-11 dan 12.

Berdasarkan peraturan FAM, juara dan naib juara Liga Perdana 2013 layak secara automatik ke Liga Super 2014 manakala dua pasukan tercorot Liga Perdana akan turun ke Liga FAM.

Empat gol skuad 'Ngap Sayot' pada perlawanan di Kuching itu dijaringkan oleh Muamer Salibasic pada minit ke-20, Ronny Harun (minit ke-68), Joseph Kalang Tie (minit ke-85) dan Guy Bwele (minit ke-88).

Selaku juara, Sarawak meraih Piala Liga Perdana, cek berjumlah RM300,000 dan pingat kemenangan yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Kemenangan 2-0 yang diraih Sime Darby FC ke atas UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam pula membolehkan mereka muncul naib juara Liga Perdana di belakang Sarawak.

Dua gol wakil kelab Lembah Klang itu dijaringkan olehFadzli Shaari pada minit ke-37 dan Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri pada minit ke-58.

Keadaan berjerebu yang melanda Johor Baharu sejak beberapa minggu lepas tidak menghalang pasukan Johor FA untuk mencatatkan kemenangan bergaya 6-1 ke atas Sabah di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Enam gol skuad 'Harimau Selatan' itu dijaringkan oleh Ezequiel Gallegos pada minit kelima dan 64 (penalti), Izuan Jarudin (minit ke-37), Khairul Azhar Eidros (minit ke-45), Ashadi Mohd Yusof (minit ke-81) dan Rashid Aya pada masa kecederaan separuh masa kedua manakala gol tunggal Sabah dijaringkan oleh Koh Traore pada minit ke-24.

Perlis pula mengejutkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kemenangan 3-2 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Tiga gol skuad Singa Utara dijaringkan oleh Mohd Afiq Akmal Zunaidi pada minit ke-32), Mohd Rizal Ghazali (minit ke-45) dan Mohd Hardi Ahmad (minit ke-49) manakala dua gol pasukan PDRM disumbangkan oleh Khairul Izuan Abdullah (minit keenam) dan Nigoh Mukol (minit ke-53).

Dua lagi perlawanan menyaksikan Kedah membelasah Betaria FC, 5-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar manakala Pos Malaysia FC dan SPA Putrajaya FC terikat seri 1-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan