Piala FA: KAFA Saran FAM Jual Tiket Sehari Lebih Awal

Diterbitkan: Khamis, 13 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mencadangkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjual tiket perlawanan akhir Piala FA pada 29 Jun ini sehari lebih awal bagi menjamin keselamatan.

Penasihat Kafa Tan Sri Annuar Musa berkata langkah itu juga akan memudahkan penyokong kerana mereka tidak perlu datang awal pada hari perlawanan dan berebut-rebut mendapatkan tiket.

"Langkah ini amat bersesuaian kerana hanya penonton yang mempunyai tiket sahaja berada di kawasan stadium. Kita khuatir jika tiket ini dijual pada hari perlawanan, penyokong yang gagal mendapat tiket akan berada di sekitar kawasan luar stadium.

"Secara tidak langsung ia akan menyebabkan berlakunya lebihan penyokong berada di kawasan stadium. Jika FAM berbuat demikian lebih awal, ia akan memudahkan proses pihak berkuasa menguruskan aspek lalu lintas," katanya selepas merasmikan pelancaran telefon pintar edisi The Red Warriors di sini, pada Khamis.

Perlawanan akhir yang dijadual di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu membabitkan pertemuan juara bertahan Kelantan dan Johor Darul Takzim (Johor DT).

Menurut Annuar, Kafa akan menjual tiketnya pada 20 Jun ini bermula 10 pagi di kaunter tiket di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini.

Setiap tiket dijual pada harga RM40, katanya.

"Bagaimanapun kita memberi keutamaan kepada pihak yang membuat tempahan secara pukal atau berkumpulan," katanya.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan