16 Pasukan Sertai Kejohanan Bola Sepak Piala Petronas

Diterbitkan: Selasa, 11 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Sebanyak 16 pasukan dari zon barat daya Sabah akan berentap dalam tempoh tiga bulan akan datang untuk menjuarai kejohanan bola sepak Piala PETRONAS Zon Sabah 2013 yang membuka tirainya di Sipitang minggu lepas.

Sabtu lepas, kejohanan ini, yang ketiga sejak diperkenalkan pada 2010, menyaksikan perlawanan sengit apabila pasukan Sipitang A mengalahkan Malinchi FC dari Tenom 2-1.

Ketika merasmikan kejohanan ini, Ketua Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan Julita Ontol berkata ia dianjurkan untuk mempromosi gaya hidup sihat melalui kegiatan berkaitan sukan dan memupuk semangat kerjasama dalam kalangan peserta.

Ia juga sebahagian daripada cara syarikat itu untuk mendampingi golongan belia dan masyarakat yang tinggal di kawasan projek PETRONAS.

Kejohanan ini akan ditangguhkan sementara pada Ramadan dan disambung semula selepas Aidilfitri, manakala peringkat separuh akhir dan akhir dijangka berlangsung pada awal September.

Ketika mengucapkan terima kasih kepada PETRONAS kerana menganjurkan kejohanan berkenaan, pengerusi jawatankuasa penganjur Ibrahim Tuah menyifatkan kejohanan itu sebagai "acara yang sentiasa dinanti-nanti masyarakat di wilayah pantai barat daya".

Kejohanan ini juga akan menjadi platform bagi Persatuan Bolasepak Sabah untuk mencungkil bakat baharu, katanya.

Kejohanan ini dibahagi kepada dua zon, yang setiap satu disertai lapan pasukan iaitu Zon A, dengan Sipitang sebagai tuan rumahnya, dan Zon B, dengan Kimanis sebagai tuan rumahnya.

Persatuan Belia Kampung Menengah Sipitang dan Kelab Rekreasi dan Kebudayaan Kimanis menjadi penganjur bersama kejohanan ini. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan