Harimau Malaya Perlu Tonjolkan Kepelbagaian - Rajagobal

Diterbitkan: Selasa, 4 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya perlu mempelbagaikan rentak dan kebolehan dalam apa jua situasi pada perlawanan persahabatan di Australia, kata ketua jurulatih kebangsaan Datuk K. Rajagobal.

Beliau berkata kesemua pemain perlu menunjukkan aksi dan permainan yang terbaik dalam tiga perlawanan di negara tersebut meskipun bukan berhadapan dengan pasukan utama Australia.

"Beraksi dalam situasi cuaca sejuk atau tidak sejuk, tidak ada perbezaan...ketika beraksi di Qatar juga kita bermain dalam cuaca sejuk, kita tetap beraksi.

"Saya akan memberi peluang kepada kesemua iaitu 26 pemain beraksi dalam tiga perlawanan di Australia dalam usaha mencari satu pasukan yang kuat untuk menentang Bahrain pada Oktober ini," katanya.

Skuad Harimau Malaya berlepas ke Australia pada Isnin bagi sesi latihan dan perlawanan persahabatan yang merupakan sebahagian daripada persiapan menghadapi Bahrain pada perlawanan kedua Kumpulan D, pusingan kelayakan Piala Asia 2015 di Kuala Lumpur, 15 Okt ini.

Skuad Harimau Malaya akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan menentang pasukan kelab seperti Canberra All Stars pada 6 Jun dan diikuti Marconi Stallions FC (11 Jun) dan Sydney United FC (13 Jun).

Mengulas lanjut mengenai perlawanan menentang Bahrain, Rajagobal berkata beliau telah membayangkan kesebelasan utama namun tidak menolak kemungkinan akan melakukan rombakan kecil sekiranya perlu.

Ketika mengulas mengenai prestasi hambar penyerang kebangsaan, Mohd Safee Sali dan Shafiq Rahim bersama pasukan Johor Darul Takzim (JDT) sepanjang musim Liga Super, beliau berkata prestasi mereka tidak perlu dipertikaikan kerana tumpuan perlu diberikan kepada prestasi semasa kedua-dua tonggak utama Harimau Malaya itu.

Sementara itu, Shafiq ketika ditemui berkata sebagai ketua pasukan beliau berjanji tidak akan mempersia-siakan kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk mengetuai skuad Harimau Malaya sepanjang berada di Australia.

"Saya akan membalas balik kepercayaan yang diberikan kepada saya dan pasukan. Saya harap dapat beri aksi yang terbaik. Saya percaya enam pemain baharu mampu memberi kerjasama yang baik sebagai satu pasukan," katanya.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan