Frenz Malaysia A Seri 0-0 Ke Atas Lao Toyata FC

Diterbitkan: Ahad, 2 Jun 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Walaupun bertembung dengan perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Johor Darul Takzim dan Pahang semalam, perlawanan Kejohanan Piala Asean FAM-Frenz B-15 2013 antara pasukan Frenz Malaysia B dan Lao Toyata FC tetap berlangsung meriah di Stadium Janda Baik, Pahang pada Sabtu.

Kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan berhati-hati pada awal babak pertama perlawanan namun terdapat beberapa cubaan dan gerakan menarik yang dihasilkan pemain kedua-dua pasukan.

Lao Toyata FC dari Laos mula mengasak kubu pertahanan Frenz Malaysia B dan berjaya melakukan beberapa percubaan berbahaya pada minit terakhir separuh masa pertama namun gagal menjaringkan gol.

Memasuki babak kedua perlawanan, pasukan Malaysia B dan Lao Toyata FC melakukan beberapa pertukaran pemain bagi merancang strategi baharu perlawanan.

Rentak permainan kedua pasukan pada babak akhir semakin perlahan apabila pemain keletihan dan tiada lagi gerakan menarik yang dipamerkan kedua-dua pasukan.

Keputusan penuh perlawanan berakhir dengan keputusan Frenz Malaysia B seri tanpa jaringan ke atas Lao Toyata FC.

Sementara dalam satu lagi perlawanan membabitkan pasukan Malaysia di Stadium Olimpik, Phnom Penh, Kemboja, Pasukan Frenz Malaysia A mencatat keputusan seri 1-1 ke atas pasukan dari Kemboja, Cambodia Phnom Penh Crown.

Pasukan tuan rumah bermula garang apabila berjaya menjaringkan gol pembukaan menerusi Sen Teang Chhout pada minit ke-34 sebelum Malaysia Frenz A bangkit menyamakan kedudukan 1-1 satu minit selepas tambahan masa.

Kejohanan Piala Asean FAM-Frenz United bawah 15 tahun anjuran bersama FAM dan Frenz United Football Academy (FUFA) yang berlangsung dari 25 Mei hingga 8 Sept menjadi medan bagi mencungkil bakat dalam sukan bola sepak negara.

Dua belas pasukan akan bertanding mewakili kesemua negara Asean termasuk Timor Leste manakala Malaysia selaku tuan rumah menghantar dua pasukan.

Pasukan negara ditempatkan dalam Kumpulan B bersama-sama Frenz Indonesia, Frenz Malaysia B, Lao Toyata Fc, Myanmar Mandalay Fc dan Filipina Bawah 15 Tahun.

Kumpulan A pula dibarisi pasukan Kemboja Phnom Penh Crown, Timor Leste Bawah 15 Tahun, Singapura NFA, Thailand Chonburi Fc, Vietnam PVF Fad dan Frenz Malaysia A.

Hadiah utama kejohanan merupakan wang tunai US$100,000. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan