Khairy mahu Semua Persatuan Bola Sepak Wujudkan Jawatankuasa Integriti

Diterbitkan: Khamis, 23 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mahu semua persatuan bola sepak negeri mewujudkan jawatankuasa integriti masing-masing bagi mengekang gejala mengatur perlawanan yang kembali menular.

Katanya beliau akan menulis surat kepada presiden persatuan bola sepak yang belum menubuhkan jawatankuasa itu, meminta mereka berbuat demikian pada kadar segera.

"Kebanyakan persatuan bola sepak negeri masih belum mewujudkan jawatankuasa itu...Ini bukan isu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ingin campur tangan (dalam hal ehwal pentadbiran mereka) namun ini (gejala atur perlawanan bola sepak) melibatkan peringkat nasional yang melibatkan jenayah dan imej kebangsaan kita. "Jawatankuasa ini merupakan saluran pertama kepada pemain (dan pegawai pasukan) untuk memberikan maklumat mengenai gejala atur perlawanan bola sepak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat tertutup mengenai gejala berkenaan yang disampaikan oleh wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini hari ini.

Taklimat yang berlangsung hampir dua jam itu dihadiri oleh Ketua Penolong Pengarah Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman, SAC Datuk Abdul Jalil Hassan; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad dan Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong.

Khairy yang dilantik meneraju KBS sejak Rabu lepas, berkata 'bookie' bola sepak kini mengalih tumpuan mereka daripada pemain senior kepada pemain baharu, terutamanya dari akademi bola sepak yang ingin menikmati hidup mewah sepertimana pemain yang sudah lama menceburkan diri dalam bola sepak.

"Jadi, kempen kesedaran dalam kalangan pemain muda mestilah bermula daripada sekarang.

"Kita harus memberitahu mereka (pemain muda) bahawa inilah saluran untuk mereka menyampaikan maklumat di samping kita turut memerhatikan mereka supaya tidak didekati atau didampingi oleh 'bookie' daripada terlibat dengan sindiket perjudian (bola sepak)," katanya.

Pada masa yang sama, Khairy turut meminta mereka yang mempunyai maklumat sahih berkenaan kegiatan tersebut supaya tampil memberi maklumat kepada pihak berkuasa bagi membolehkan individu yang terlibat dihadapkan ke muka pengadilan.

"Masalah bookie dan maklumat ini amat ketara sekali kerana pada ketika ini, Jawatankuasa Integriti FAM, SPRM dan PDRM masih lagi bergantung harap kepada sumber pihak ketiga untuk mendapatkan maklumat mengenai kes atur perlawanan bola sepak.

"Walaupun kita boleh melakukan risikan dan tindakan seperti itu, namun tiada apa yang boleh menggantikan bukti yang kukuh (daripada pihak ketiga)... oleh itu, kita harap lebih ramai tampil memberikan maklumat kukuh untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang disyaki terlibat dengan kes atur perlawanan," katanya.

Khairy berkata pemberi maklumat juga tidak perlu bimbang kerana mereka dilindungi oleh beberapa akta termasuklah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Sukan bola sepak negara digemparkan dengan dakwaan kehadiran sebilangan bookie semasa perlawanan Liga Perdana antara Kuala Lumpur dan Sime Darby FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu lepas sehingga menjadi bualan hangat dalam laman sosial Facebook dan Twitter memandangkan keputusan perlawanan itu sama dengan ramalan bookie terbabit.

Pada perlawanan itu Sime Darby FC membelasah pasukan tuan rumah 5-0.-BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan