FAM Temui Khairy Khamis Ini Bincang Isu Bookie

Diterbitkan: Rabu, 22 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin di Majlis Sukan Negara pada Khamis ini untuk membincangkan isu bookie.

Sambil menyifatkan isu itu serius dan perlu ditangani segera, Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata isu itu perlu diberi perhatian mendalam oleh semua pihak termasuk polis.

"Kita berharap dapat meneruskan kerjasama dengan polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menangani segera isu ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kad debit Visa Bank Islam 'Team Harimau' di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, hari ini.

Tengku Abdullah turut menasihatkan semua pemain bola sepak negara supaya tidak melibatkan diri dengan gejala rasuah.

"Janganlah sesekali mendekati bookie ini. Sekali kamu mendekati mereka, inilah akibatnya...ugutan...cubaan membunuh, mengertak atau cuba menakutkan keluarga pemain," kata baginda.

Pada Isnin, akhbar melaporkan beberapa pemain bola sepak Liga Malaysia dan anggota keluarga mereka menerima ugutan bunuh daripada sindiket perjudian bola sepak kerana gagal memenuhi tuntutan atau arahan sindiket berkenaan.

Isu berkaitan bookie itu adalah yang kedua selepas dakwaan kehadiran sebilangan bookie semasa perlawanan Liga Perdana antara Kuala Lumpur dan Sime Darby FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Jumaat lepas.

Ia diperkatakan dengan meluas dalam laman sosial Facebook dan Twitter apabila keputusan perlawanan berkenaan dikatakan sama seperti yang diramalkan oleh sebilangan bookie yang hadir di stadium berkenaan.

Pada perlawanan itu, Sime Darby FC membelasah pasukan tuan rumah 5-0.

Sabtu lepas, Khairy berkata pihaknya akan menyiasat dakwaan kehadiran sebilangan bookie semasa perlawanan itu.

Di Kuala Lumpur, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali berkata suruhanjaya itu akan meneliti perkara itu sekiranya menerima laporan mengenainya.

"Kami akan meneliti aspek rasuah berkaitan dengan perlawanan bola sepak itu, sehingga kini belum ada laporan lagi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat Bukit Aman Datuk Abdul Jalil Hassan pula berkata pihak polis sentiasa memantau aktiviti seperti itu dan tindakan akan diambil terhadap pihak yang terbabit.

Beliau berkata pihak polis akan mengadakan kerjasama dengan FAM dan SPRM dalam menangani gejala itu.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan