Final Piala Liga Juara-Juara: Apakah Ini Permulaan Era Kegemilangan Kelab Jerman?

Diterbitkan: Khamis, 2 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BELUM pernah berlaku dalam sejarah bolasepak Eropah, dua gergasi Jerman ditakdirkan untuk bertemu dalam perlawanan akhir kejohanan bolasepak paling berprestij di dunia iaitu Liga Juara-Juara Eropah pada 25 Mei ini.

Apakah ini petanda kebangkitan kelab-kelab Jerman dalam pentas bolasepak dunia selepas sejak sekian lama ia dikuasai oleh kelab dari Liga Sepanyol, Itali dan Inggeris?

Bayern Munich dan Borussia Dortmund telah membuktikan yang musim ini dikuasai oleh mereka. Barang diingat sebuah lagi kelab Jerman, Schalke hampir-hampir layak ke pusingan suku akhir.

Dan Bayern serta Dortmund berjaya melangkah masuk ke Stadium Wembley nanti dengan menumpaskan dua gergasi Eropah yang mendominasi pentas dunia sejak sekian lama iaitu Real Madrid dan Barcelona.

Malah untuk Bayern sendiri, ini adalah final ketiga mereka dalam tempoh empat tahun dan oleh yang demikian tidak salah untuk mereka memikirkan yang musim ini adalah musim terbaik untuk mereka merangkul kejuaraan.

Pada perlawanan akhir nanti, mereka tidak perlu lagi risau untuk berdepan dengan mana-mana gergasi Sepanyol, Itali atau Inggeris.

Kalau hendak dikira, ini adalah saat yang paling hebat dan gemilang yang pernah ditempa oleh kelab-kelab Jerman seolah-olah kejayaan mereka menumpaskan Real dan Barca di peringkat separuh akhir itu menjadikan pertandingan akhir nanti sebagai anti-klimaks.

Bayangkan, musim depan, jurulatih paling berharga di dunia Pep Guardiola akan menyertai Bayern selaku pengurus baru.

Kita tidak dapat bayangkan bagaimana Bayern akan dibentuk menjadi gergasi bolasepak dunia sama sepertimana Barca.

Pada masa yang sama, apakah ini petanda bermulanya era kemalapan Barca selepas mereka mencipta kejayaan demi kejayaan di bawah Pep sejak empat tahun yang lalu?

Semuanya serba tidak kena buat Barca musim ini sebaik sahaja pengurus mereka menjalani rawatan kanser sebanyak dua kali dalam tempoh dua tahun.

Sebaliknya di Jerman, kelab-kelab mereka telah mula melakukan sesuatu yang betul iaitu kejayaan tidak boleh dibeli dengan melambakkan pemain-pemain bintang tetapi perlu digandingkan antara pemain bintang dengan pemain muda berbakat yang diasah menjadi bintang.

Mereka juga memastikan harga tiket tidak dinaikkan bagi mengeratkan hubungan antara penyokong setia dengan kelab dan melarang pelabur luar daripada membeli kelab-kelab tempatan untuk mengekalkan keaslian dan budaya lama Jerman.

Oleh yang demikian, kita dapat melihat dalam tempoh 10 tahun Jerman menghasilkan lima juara liga yang berlainan.

Tetapi kejayaan tidak datang tanpa risiko yang tinggi. Pertama, Dortmund akan kehilangan bakat muda yang digilapnya, Mario Götze kepada Bayern yang akan membelinya pada harga £31 juta musim depan.

Kemudian seorang lagi bintang mereka, Robert Lewandowski turut diintai oleh Bayern dan Manchester United.

Jika mereka kehilangan khidmat kedua-dua bintang mereka itu musim depan, apakah mereka mampu mengekalkan penguasaan dan kejayaan musim ini?

Tahun sebelumnya mereka telah kehilangan perancang utama yang menjadi enjin kelab itu - Shinji Kagawa kepada Manchester United tetapi Dortmund tetap menyerlah musim ini malah mencatatkan prestasi yang jauh lebih baik lagi.

Jadi Dortmund membuktikan untuk berjaya mereka tidak bergantung harap kepada seorang bintang tetapi ditentukan oleh disiplin dan taktikal permainan yang canggih dan berkesan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan