Nama Malaysia Kekal Pada Jersi Cardiff City

Diterbitkan: Selasa, 23 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Vencent Tan. Foto: AP CHEE HONG/The Star
Vencent Tan. Foto: AP CHEE HONG/The Star

KUALA LUMPUR: Pemilik Cardiff City, Tan Sri Vincent Tan mengakui kejayaan kelabnya mara ke kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan adalah sokongan semua pihak termasuk rakyat di sini.

Cardiff City yang berjaya menjuarai Liga Kejuaraan musim ini mencatat sejarah tersendiri mara ke saingan EPL musim 2013/14 selepas 51 tahun menanti.

Kali terakhir Cardiff City beraksi dalam liga tertinggi Inggeris ialah pada tahun 1962.

Ahli perniagaan dari Malaysia itu berkata, ia sesuatu yang sangat menggembirakan dan kejayaan ini turut dikongsi bersama seluruh penyokong di South Wales dan juga di Malaysia.

"Perasaan bangga kerana kejayaan ini, lebih-lebih lagi ia mempamerkan nama Malaysia di jersi kelab kami.

"Lebih teruja kerana saya sendiri mempromosikan negara saya di mata dunia, dan saya sangat berbangga.

"Saya berharap selepas ini (Cardiff) akan mendapat tajaan daripada pihak Malaysia sendiri," jelasnya pada sidang media, di sini Selasa.

Tan berkata, tahun lalu ketika beliau mengambil keputusan untuk menukar warna jersi kelab ini dari warna biru kepada merah, ramai peminat setia kelab yang tidak menyukai dan bersetuju.

"Walaupun ramai pihak memprotes tindakan saya itu, tetapi saya tetap yakin bahawa warna merah dan logo naga akan memberi tuah kepada pasukan ini.

"Ya, saya percaya ia turut membantu pasukan ini untuk meraih kejayaan. Oleh yang demikian kami akan terus mengekalkan warna dan logo tersebut, malah turut mengekal nama Malaysia di depan jersi," jelasnya.

Bagi Tan, beraksi dalam liga perdana bukanlah sesuatu yang mudah dan berharap selepas ini lebih ramai lagi penyokong Malaysia memberi sokongan kepada kelab ini.

"Kita sedia maklum bahawa ramai orang lebih menyokong kelab-kelab terkenal, dan saya harap selepas ini lebih ramai yang akan menyokong Cardiff City.

"Mengenai pemain musim baru nanti, saya akan menyerahkan kepada pengurus pasukan, Malky Mackay untuk mmemilih pemain dan selepas itu kami akan membuat keputusan.

"Dalam bola sepak, pengurus lebih berkuasa daripada pemilik dalam pemilihan pemain.

"Kami perlu melaburkan wang secara bijak bagi memperkuatkan pasukan.

Dalam pada itu, Tan berkata, beliau mahu pasukannya beraksi lebih lama dalam EPL dan bukan hanya untuk satu musim sahaja.

"Sudah tentu aksi EPL lebih tertekan bagi pasukan baru seperti kami. Saingan kami bersama pasukan yang lain jauh lebih sukar.

"Tetapi saya yakin dengan beberapa pemain baru yang akan dibeli nanti (buat masa sekarang belum diputuskan), kami mampu memberikan persaingan yang terbaik.

"Sekurang-kurang untuk selamat kami perlu berada di kedudukan tengah, seperti 13, 14 atau 15.

"Kami tidak mahu tersingkir untuk musim pertama, dan sebolehnya mahu kekal lama di sini," jelas Tan yang mengambil alih kelab ini pada tahun 2010.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan