FAM Tunggu Laporan Rasmi Komisioner Perlawanan Antara Sarawak & Kelantan

Diterbitkan: Jumaat, 19 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)akan menunggu laporan rasmi daripada komisioner perlawanan mengenai insiden kekecohan pada aksi suku akhir kedua Piala FA antara Sarawak menentang Kelantan di Stadium Negeri di Kuching, Selasa lepas.

Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad yang kecewa dengan insiden berkenaan berkata badan induk bola sepak kebangsaan itu akan melakukan siasatan rapi sebelum mengambil tindakan lanjut terhadap pihak yang terlibat.

"Kita akan menunggu laporan rasmi serta bukti yang diserahkan kepada kita sebelum Jawatankuasa Tatatertib FAM bersidang untuk menentukan hukuman yang bakal dikenakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengumuman rasmi perlawanan persahabatan pra-musim antara kelab Sepanyol, FC Barcelona menentang Pilihan Malaysia XI di sini, Jumaat.

Pada perlawanan itu, penyokong Sarawak dilaporkan membaling objek dan botol air ke dalam padang selain menimbulkan kekecohan kerana tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan 'berat sebelah' pengadil, Nagor Amir Noor Mohamed yang dikatakan menyebelahi Kelantan.

Kelantan menewaskan Sarawak pada perlawanan itu untuk mara ke separuh akhir Piala FA dengan keputusan agregat 4-1.

Azzuddin berkata Jawatankuasa Pengadilan FAM akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengadil jika wujud laporan serta bukti kukuh mengenai kelemahan mutu pengadilan dalam sesebuah perlawanan.

"Kita sentiasa menilai prestasi pengadil malahan kita pernah mengambil tindakan tegas ke atas beberapa pengadil yang cuai menjalankan tugas mereka," katanya sambil menegaskan FAM bersikap terbuka dalam menerima sebarang laporan melibatkan mutu pengadilan.

Beliau turut menasihatkan penyokong bola sepak tempatan supaya tidak terlalu mengikut emosi dengan menimbulkan kekecohan dalam sesebuah perlawanan kerana persatuan bola sepak negeri atau kelab bakal menanggung padah.

Untuk rekod, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) pernah didenda RM29,500 oleh Jawatankuasa Tatatertib kerana gagal menyediakan kawalan keselamatan efektif pada aksi Liga Super menentang Lions XII FC di laman sendiri, 17 Mac tahun lepas.

Mereka turut didenda RM46,000 selain perlu bermain empat perlawanan tanpa kehadiran penyokong kerana faktor sama pada aksi Liga Super menentang Kelantan di laman sendiri pada 28 April tahun lepas. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan