Perlawanan United-City Awal Pagi Ini Penentu Kejuaraan United

Diterbitkan: Isnin, 8 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PERLAWANAN antara Manchester United dan City pada awal pagi ini (2.55 pagi Selasa) waktu Malaysia dilihat bakal menentukan apakah United boleh dinobatkan sebagai juara seandainya menang.

Ini kerana United kini sedang mendahului City dengan 15 mata di takhta liga.

Jika United menang, mereka akan melebarkan jurang mata kepada 18. Jika seri 17 mata. Dan jika kalah, City berjaya merapatkan jurang itu kepada 12 mata sahaja dengan baki tujuh perlawanan lagi.

Jika City tewas, mereka perlu memenangi kesemua baki tujuh perlawanan lagi yang akan membawa kepada 21 mata penuh untuk menyaingi United tetapi dengan syarat United tewas kesemua baki perlawanan mereka musim ini.

Tetapi pada masa yang sama, adalah tidak logik United akan tewas kesemua baki tujuh perlawanan mereka.

Andai kata jika United ditakdirkan seri kesemua baki tujuh perlawanan itu sekali pun, City masih tidak mampu mengekalkan kejuaraan mereka.

Malam ini, kelebihan berada di tangan United kerana perlawanan akan berlangsung di Old Trafford.

Menjelang perlawanan malam ini, marilah kita melihat fakta dan statistik kedua-dua buah pasukan;

> Manchester United kini sedang mendahului City dengan 15 mata dengan tinggal baki lapan perlawanan lagi;

> Ini adalah perlawanan ke-165 antara kedua-dua pasukan. Daripada 164 perlawanan sebelum ini, Manchester United menang 69, Manchester City 45 manakala 50 perlawanan lagi seri.

> Manchester United dan Manchester City hanyalah dua pasukan dalam liga perdana musim ini yang belum tewas ketika mereka sedang mendahului perlawanan.

> Manchester City mendahului mana-mana pasukan dalam liga perdana berjaya mengekalkan 14 perlawanan tanpa bolos dan diikuti oleh Manchester United (11).

> Walaupun berada di tempat kedua, Manchester City masih mengekalkan rekod pertahanan terbaik sejak musim lalu. Musim ini mereka hanya melepaskan 26 gol. United pula berada di tempat kedua rekod pertahanan terbaik dengan melepaskan 31 gol tetapi menjaringkan gol tertinggi liga setakat ini (70).

> Daripada 26 gol yang dilepaskan oleh Manchester City musim ini, sembilan gol (35%) dijaringkan dari luar kotak penalti manakala United hanya melepaskan satu gol daripada 31 dari luar kotak penalti.

> Manchester United telah berjaya mengekalkan enam perlawanan terakhir dalam liga tanpa dibolosi.

> Kejayaan Manchester United menumpaskan Sunderland minggu lalu menjadikan mereka pasukan Inggeris pertama dalam liga perdana memenangi 25 daripada 30 perlawanan.

> Mata yang diperolehi United setakat ini (77) adalah yang tertinggi dalam rekod liga perdana selepas mengharungi 30 perlawanan. Pasukan pertama yang berjaya mencapai rekod itu ialah Chelsea pada musim 2004/2005.

> Sejak Roberto Mancini mengambil alih pengurusan City, dia telah memenangi dua daripada enam perlawanan liga perdana menentang United, tewas tiga dan seri satu.

> Manchester United telah berjaya memperolehi 27 mata daripada kedudukan ketinggalan (tetapi kemudiannya menang) sepanjang musim ini - satu pencapaian yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana pasukan pun.

Lima Perlawanan Terakhir Liga Perdana Antara United-City:

> Man City 2-3 Man Utd (09/12/2012)

Jaringan di minit kecederaan oleh Robin van Persie memberi kemenangan buat United dan sekaligus meletakkan mereka enam mata di hadapan City.

> Man City 1-0 Man Utd (30/04/2012)

Vincent Kompany menanduk masuk gol kemenangan City dan meletakkan City di takhta liga.

> Man Utd 1-6 Man City (23/10/2011)

City memperolehi kemenangan besar dan meletakkan mereka lima mata di atas United pada musim lalu yang akhirnya membawa kemenangan moral untuk merampas takhta liga.

> Man Utd 2-1 Man City (12/02/2011)

Dalam perlawanan ini jaringan gol Wayne Rooney yang menakjubkan telah dipilih sebagai jaringan tercantik sepanjang musim 2010/11.

> Man City 0-0 Man Utd (10/11/2010)

Perlawanan yang membosankan apabila kedua-dua pasukan mengambil pendekatan berhati-hati.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan