Kelantan Catat Kemenangan Tipis Pada Suku Akhir Pertama Piala FA

Diterbitkan: Ahad, 7 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Juara bertahan Kelantan masih belum mampu menarik nafas lega apabila hanya mempunyai kelebihan satu gol selepas mengalahkan Sarawak 2-1 pada saingan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Baharu, malam Sabtu.

Mohd Faiz Subri menceriakan penyokong tuan rumah dengan gol pembukaan seawal minit ketujuh sebelum Khairul Izuan Rosli menggandakan jaringan pada minit ke-20, pada perlawanan yang turut disaksikan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Pasukan Sarawak bagaimanapun merapatkan jurang jaringan menerusi gol Joseph Kalang Tie pada minit ke-48 apabila melepaskan rembatan kencang daripada luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Terengganu pula berada pada kedudukan selesa untuk menempah slot ke separuh akhir selepas mencatatkan kemenangan bergaya 3-1 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Bagaimanapun, Negeri Sembilan membuka tirai jaringan menerusi Mohd Nazrin Mohd Nawi pada minit ke-73 sebelum skuad Penyu bangkit dengan pantas untuk membalas tiga jaringan menerusi Jean Emmanuel Effa Owona pada minit ke-77, Abdul Manaf Mamat (minit ke-90) dan Ahmad Nordin Alias pada masa kecederaan.

Dalam pada itu, pasukan berstatus bintang, Johor Darul Takzim FC (JDT FC) pula gagal memanfaatkan kelebihan bermain di halaman sendiri selepas kalah mengejut 2-1 kepada Selangor di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin.

Pemain pertahanan Selangor, Mahalli Jasuli mengejutkan pasukan tuan rumah bimbinganFandi Ahmad menerusi gol pertama pada minit ke-14.

JDT berpeluang menyamakan kedudukan namun sepakan penalti yang diambil oleh Daniel Guiza pada minit ke-56 ditepis keluar oleh penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

Nasib JDT FC bertambah malang selepas Irfan Ghani dibuang padang oleh pengadil Samsudin Ibrahim pada minit ke-63 kerana melakukan terjahan keras ke atas K. Gurusamy.

Selangor menggunakan kesempatan tersebut dengan menambah gol kedua pada minit ke-68 menerusi gol Mohd Amri Yahyah selepas beliau mendapat hantaran sebelah kanan daripada Francis Forkey Doe.

Penyerang sensasi negara, Mohd Safee Sali mengurangkan defisit jaringan untuk pasukan selatan tanahair itu menerusi sepakan penalti pada minit ke-81.

Dalam satu lagi perlawanan, Pahang turut mempamerkan aksi mengecewakan selepas diikat tanpa jaringan oleh pendahulu Liga Perdana, Sime Darby FC, di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Perlawanan suku akhir kedua akan berlangsung pada 16 April ini. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan