Terengganu Tekad Ubati Episod Duka Pada Suku Akhir Piala FA

Diterbitkan: Sabtu, 6 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Terengganu mahu melupakan seketika saingan Liga Super dan memberi sepenuh tumpuan untuk memburu kemenangan ke atas Negeri Sembilan pada saingan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu.

Jurulatih Terengganu, E. Elavarasan percaya kemenangan ke atas Negeri Sembilan itu dapat memulihkan semula semangat pemain dan mengubati kekecewaan selepas kalah 3-2 kepada Johor Darul Takzim (Johor DT) pada Liga Super, Sabtu lepas.

Beliau berkata sekiranya skuad Peteh berjaya mengatasi Negeri Sembilan, pasukan yang tercorot dalam Liga Super, maka ia mampu memberi kelebihan pada perlawanan timbal balik kedua di gelanggang sendiri pada 16 April ini.

"Bagaimanapun, kita perlu berhati-hati berdepan Negeri Sembilan dalam perlawanan di laman mereka...yang sudah pasti beri kelebihan kepada mereka," katanya kepada pemberita, di sini, Jumaat.

Elavarasan berkata mereka ingin melupakan kekecewaan dan berharap saingan Piala FA dapat menyuntik semangat untuk memperbaiki prestasi pasukan pada saingan Liga Super.

"Kita perlu bangkit meneruskan perjuangan dengan memberi tumpuan sepenuhnya dalam saingan Piala FA," katanya.

Menurutnya pasukan Terengganu akan diperkuatkan semula oleh Ismail Faruqi Ashaari dan Md Zubir Md Azmi pada perlawanan menentang Negeri Sembilan.

Mengulas mengenai pemain kelahiran Cameroon, Jean-Emmanuel Effa Owona, beliau menjelaskan terdapat perubahan dalam persembahan penyerang import itu yang pernah menabur bakti bersama pasukan Negeri Sembilan.

Elavarasan berkata pemain berusia 29 tahun itu perlu mempertajamkan lagi peluang yang terhidang di depan gol untuk meraih kemenangan.

Pasukan Terengganu perlu mengukuhkan jentera serangan kerana ia penting dalam misi menempah tiket ke separuh akhir Piala FA, katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan