Beberapa Pemain Selangor Berdepan Hukuman FAM - Taufik

Diterbitkan: Rabu, 27 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Beberapa pemain Selangor bakal berdepan dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas terlibat dalam insiden pergaduhan dengan pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, 25 Januari lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Taufik Abdul Razak, yang enggan menamakan pemain-pemain berkenaan, berkata kesemua mereka mungkin dijatuhkan hukuman sama sebagaimana yang diterima pemain ATM iaitu denda dan digantung permainan.

"Kita memutuskan untuk menutup kes selepas meneliti laporan daripada pengadil perlawanan serta memperoleh keterangan daripada kedua-dua pasukan," katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu hampir empat jam di Wisma FAM, Kelana Jaya, Rabu.

Dalam insiden itu, penyerang Selangor, Mohd Afiq Azmi dikatakan melakukan provokasi melampau terhadap pemain ATM di bangku simpanan sehingga menimbulkan kekecohan antara kedua-dua pihak.

Perlawanan itu dimenangi Selangor dengan keputusan 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada aksi 120 minit termasuk 30 minit masa tambahan.

Pada 21 Mac lepas, Jawatankuasa Tata Tertib memutuskan untuk menggantung empat pemain ATM antara dua hingga empat perlawanan selain mengenakan denda antara RM1,000 dan RM1,500 setiap seorang susulan pembabitan mereka dalam insiden pergaduhan berkenaan.

Empat pemain berkenaan iaitu penjaga gol, G Jeevananthan; pemain tengah, Mohd Shukor Adan; dan dua penyerang iaitu R Surendran dan Mohd Fitri Omar.

Kapten pasukan ATM, Hairuddin Omar pula diberi amaran keras oleh jawatankuasa itu.

Kesemua mereka bagaimanapun mendakwa tidak dipanggil untuk membela diri sebelum jawatankuasa berkenaan menjatuhkan hukuman terhadap mereka.

Sementara itu, jurulatih pasukan Selangor dan ATM yang dipanggil memberi keterangan pada mesyuarat berkenaan mempunyai pandangan berbeza mengenai isu pergaduhan tersebut.

Ketua jurulatih Selangor, Irfan Bakti tetap mempertahankan anak didiknya walaupun terdapat beberapa laporan akhbar yang menyatakan mereka bersalah dalam insiden itu.

"Ada yang menyatakan Mohd Afiq yang memulakan provokasi namun kita tidak harus menyalahkan beliau yang hanya meraikan kemenangan pasukan kita, namun apa yang saya beritahu kepada jawatankuasa adalah selesaikan cara baik," katanya.

Berbeza pula dengan ketua jurulatih ATM, S.Sathianathan yang enggan menyebelahi mana-mana pihak dan sebaliknya menyerahkan keputusan kepada jawatankuasa itu untuk tindakan lanjut.

"Saya memberi keterangan (kepada Jawatankuasa Tata Tertib) berdasarkan apa yang saya nampak semasa dan selepas perlawanan itu. Saya tidak akan membela mana-mana pemain termasuk pemain saya sekiranya mereka didapati bersalah kerana pemain berkenaan harus bertanggungjawab," tambahnya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan