Igor Sani Kecewa Tidak Diberi Cukup Masa Pada Sesi Ujian

Diterbitkan: Selasa, 26 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Bekas pemain liga divisyen dua Portugal, Igor Sani melahirkan rasa kecewa kerana tidak diberi masa secukup untuk menjalani ujian pemilihan bersama pasukan T-Team.

Sani, yang tiba di sini Ahad lepas, berkata beliau tidak dapat membuktikan kewibawaannya sebagai penyerang dalam sesi ujian yang dikendalikan oleh jurulatih Peter Butler pada Isnin.

Pemain profesional selama lapan tahun itu pernah menjaringkan 18 gol ketika bersama pasukan kelab Farense dalam liga divisyen dua Portugal tahun lepas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Abdul Rashid Jusoh berkata pemain itu gagal memenuhi kriteria ditetapkan oleh pihak pengurusan.

"Selepas ini kita akan menguji pula pemain daripada Nigeria akhir bulan ini, apapun kita tidak akan terburu-buru dalam memilih pemain import ini," katanya.

Katanya, T-Team perlu mencari pemain import baharu apabila pemain penyerang kelahiran England, Caleb Folan, 30, akan menamatkan kontrak bersama pasukan itu awal bulan depan.

Folan bersetuju untuk meninggalkan pasukan itu setelah gagal menjaringkan sebarang gol dalam 10 perlawanan Liga Super setakat ini.

T-Team kini tercorot di tangga ke-11 daripada 12 pasukan dalam Liga Super selepas mengumpul sembilan mata dengan hanya menjaringkan tiga gol sahaja.

Pasukan itu sedang berusaha mencari penyerang import pada musim kedua Liga Super apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuka jendela pendaftaran pemain bulan depan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan