Shahidan Terima Padah, Kafa Didenda RM62,500

Diterbitkan: Khamis, 21 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Presiden Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim dikenakan hukuman gantung selama dua setengah tahun daripada terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak serta didenda dengan nilai keseluruhan sebanyak RM39,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurut Timbalan Presiden Jawatankuasa Tatatertib FAM, Ednan Othman, hukuman yang dijatuhkan itu berdasarkan kenyataan beliau mengenai FAM yang bertentangan dengan Artikel 88.

Shahidan tidak menjawab pertuduhan yang dikenakan ke atasnya sekali gus dikenakan denda sebanyak RM1,000.

"Susulan dengan itu juga, Shahidan dikenakan denda sebanyak RM20,000 kerana membuat kenyataan menghina dan mengaibkan FAM di akhbar tempatan.

"Beliau juga turut didenda RM10,000 dan digantung dua tahun kerana kenyataan menghina FAM dan turut digantung daripada terlibat sebarang aktiviti bola sepak selama dua tahun.

"Manakala hukuman ketiga yang dikenakan ke atas Shahidan keranan kesalahan membuat kenyataan bercanggah mempertikaikan, mempersoalkan atau fakta yang tidak tepat berdasarkan Artikel 20 Statut FAM dan didenda sebanyak RM8,000 dan penggantungan enam bulan," jelasnya pada sidang media pada Rabu.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) turut menerima padah apabila dikenakan denda keseluruhan sebanyak RM62,500.

Denda tersebut dijatuhkan berdasar tiga kesalahan yang dilakukan oleh penyokong-penyokong Kelantan ketika perlawanan menentang pasukan Johor dalam aksi Liga Super pada 15 Januari 2013 di Stadium Sultan Muhammad V.

Kesalahan pertama adalah membaling mercun ke stadium dan hukumanan dikenakan sebanyak RM20,000.

"Kesalahan kedua adalah membaling objek di luar padang dan dikenakan denda sebanyak RM2,500.

"Kelantan juga didenda RM20,000 kerana tindakan penyokong mereka membaling objek kepada penyokong Johor.

"Dan denda keempat juga sebanyak RM20,000 kerana gagal menyediakan langkah keselamatan yang sewajarnya," jelas Ednan.

Tambah Ednan, semua hukuman yang dijatuhkan ini tidak layak untuk membuat sebarang rayuan kerana ia adalah hukuman minimum.

Manakala penggantungan Shahidan akan berkuat kuasa sebaik sahaja surat penggantungan dikeluarkan dalam tempoh dua minggu dari sekarang.

Katanya lagi, pasukan Kelantan akan didenda bermain tanpa penyokong sekiranya kejadian seumpama itu berulang lagi.

"Pada perlawanan seterusnya, pegawai kami akan berada di stadium bagi memantau keadaan, dan sekiranya berlaku, mereka akan bermain tanpa penyokong," jelasnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan