Vincent Tan Mahu Bawa Bola Sepak Negara Ke Tahap Lebih Tinggi

Diterbitkan: Rabu, 6 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pemilik Cardiff City FC yang juga pengasas Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan (tengah) ketika majlis pelancaran 'Experience The Fire & Passion Of Cardiff City FC' di Berjaya Times Square di sini, Rabu. Turut sama Ketua pegawai Eksekutif U Mobile, Jaffa Sany Ariffin (kiri) dan Pengarah BLoyalty, Gary Yeoh (kanan). -fotoBERNAMA
Pemilik Cardiff City FC yang juga pengasas Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan (tengah) ketika majlis pelancaran 'Experience The Fire & Passion Of Cardiff City FC' di Berjaya Times Square di sini, Rabu. Turut sama Ketua pegawai Eksekutif U Mobile, Jaffa Sany Ariffin (kiri) dan Pengarah BLoyalty, Gary Yeoh (kanan). -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Pemilik kelab bola sepak Cardiff Club FC, Tan Sri Vincent Tan pada Rabu menyuarakan hasrat memberi sumbangan bagi membantu membawa bola sepak negara ke peringkat yang lebih tinggi.

Katanya bagi mencapai matlamat itu beliau akan berbincang untuk mengadakan kerjasama dengan pemilik kelab bola sepak QPR Tan Sri Tony Fernandes.

"Kita akan fikirkan bagaimana kita dapat membantu dan memberi sumbangan untuk membawa bola sepak Malaysia ke satu lagi tahap yang lebih tinggi di peringkat dunia.

"Saya akan bercakap dengan Tony Fernandes tentang ini dan melihat jika ada cadangan kerjasama kita akan fikir dan beri pertimbangan," katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Peraduan "Experience The Fire And Passion of Cardiff City FC" di Berjaya Times Square dekat sini.

Hadir sama Pengarah BLoyalty Sdn Bhd Gary Yeoh dan Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile Sdn Bhd Jaffa Sany Ariffin.

Menurut Tan beliau mahu memberi sumbangan melalui sukan ini yang secara langsung dapat memperkenalkan Malaysia ke seluruh dunia.

Jelasnya, salah satu bentuk sumbangannya dapat dilihat melalui jersi Cardiff City FC.

"Terdapat nama Malaysia pada jersi pasukan Cardiff City. Kita mahu memperkenalkan dan mempromosikan Malaysia kepada semua.

"Orang bertanya sama ada kelab ini menerima tajaan atau dibayar mana-mana pihak supaya nama 'Malaysia' dapat diletakkan pada jersinya tetapi sebenarnya tidak kerana kita melakukan ini untuk negara," katanya.

Tan yang juga pengasas Berjaya Corporation Berhad berkata beliau akan menjalinkan kerjasama dengan kerajaan untuk tujuan ini.

Beliau yang percaya pemain bola sepak perlu digilap pada usia muda merancang menyumbangkan sebanyak 20,000 biji bola ke sekolah-sekolah di seluruh negara.

"Saya percaya untuk melahirkan bintang bola sepak, bola perlu ada bersama-sama mereka walau di mana saja mereka berada.

"Saiz (fizikal) bukan alasan untuk kita kerana yang penting dalam bola sepak ialah kekuatan mental dan kemahiran.

"Bola sepak (Malaysia) pernah berada di kedudukan yang baik suatu masa dulu seperti ketika zaman Mokhtar Dahari, Santokh Singh dan Soh Chin Aun," katanya.

Mengenai peraduan yang dilancarkan, Tan berkata ia sebagai menghargai peminat-peminat pasukan itu di Malaysia, pengguna U Mobile dan pemegang BCard.

Pemenang akan diterbangkan ke Cardiff bagi menyaksikan perlawanan terakhir pasukan itu pada 27 April ini di samping hadiah-hadiah eksklusif lain.

Ditanya mengenai perkembangan dan keyakinan Cardiff City bagi menjuarai perlawanan musim ini beliau berkata : Berada di kedudukan teratas dalam kejuaraan Npower adalah sesuatu yang baik tetapi kami perlu sentiasa fokus dan terus bermain untuk menang.

Beliau berharap Cardiff City akan memasuki Liga Premier pada musim hadapan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan