Presiden Real Madrid Menafikan Laporan Para Pemain Beri Kata Dua Sama Ada Singkirkan Mourinho Atau Mereka Keluar

Diterbitkan: Sabtu, 26 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Presiden Real Madrid, Florentino Perez ketika sidang media di Stadium Santiago Bernabeu di Madrid.
Presiden Real Madrid, Florentino Perez ketika sidang media di Stadium Santiago Bernabeu di Madrid.

PRESIDEN Real Madrid, Florentino Perez terpaksa melakukan sesuatu yang jarang-jarang dilakukan iaitu memanggil sidang akhbar untuk menafikan yang para pemain kanan kelab itu telah memberi kata dua kepadanya sama ada singkirkan Pengurus José Mourinho atau mereka akan meninggalkan pasukan itu secara beramai-ramai.

Kata dua itu dikatakan dibuat oleh Sergio Ramos dan penjaga gol, Iker Casillas kepada Perez dan Pengurus Besar Madrid, José Angel Sánchez dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Dakwaan mengenai komplot itu telah didedahkan oleh akhbar berpengaruh Sepanyol, Marca baru-baru ini dengan tajuk muka depan; "Jun Ini: Sama Ada Kami Atau Mourinho".

Ketika pihak media dimaklumkan mengenai sidang akhbar itu, mereka benar-benar menyangkakan yang Perez akan mengumumkan berita penyingkiran Mourinho tetapi sebaliknya apa yang mereka dapati kemudian ialah penafian mengenai laporan yang dibuat oleh Marca.

Perez membuat keputusan untuk menafikan berita tersebut dengan tujuan ia akan segera mematikan spekulasi berikutan kecederaan yang dialami Casillas akan menyebabkan penjaga gol itu tidak akan diturunkan ketika perlawanan menentang Manchester United dalam saingan Liga Juara-Juara minggu hadapan.

Kecederaan yang dialami Casillas pada jarinya itu akan menyebabkannya terpaksa berehat panjang iaitu selama lebih dua bulan.

Perez tidak mahu ketiadaan Casillas dalam tempoh tersebut dijadikan alasan untuk menghangatkan lagi laporan kononnya berlaku pergeseran di antara pemain-pemain lama dengan pengurus mereka berbangsa Portugis itu.

Casillas telah pun menjalani prosedur pembedahan bagi membetulkan semula tulang jarinya yang patah itu pada Jumaat.

Sepanjang ketiadaannya, posisi penjaga gol akan diambil alih oleh Antonio Adán.

"Saya berasa sangat simpati dengan apa yang telah terjadi pada Casillas tetapi sebaliknya yang mendominasi laporan bukannya tentang kecederaan yang dialami olehnya tetapi tentang laporan palsu yang disiarkan pada muka hadapan akhbar Marca," kata Perez pada sidang akhbarnya itu.

Perez selanjutnya menambah, tidak wujud sebarang kata dua yang diberikan oleh para pemain mengenai masa depan pengurus mereka. Apa yang dilaporkan itu adalah tidak benar sama sekali. Ini adalah satu dakwaan yang serius dan oleh kerana itu saya membuat keputusan untuk melanggar peraturan yang saya buat sendiri iaitu tidak bercakap mengenai hal ehwal perjalanan harian kelab kepada pihak media.

Marca dalam reaksi segeranya mempertahankan laporan mereka dengan berkata; "Kami melaporkan apa yang telah terjadi..."

Pengarang Marca, Oscar Campillo, menegaskan: "Bukanlah tujuan kami melaporkan berita itu dengan niat untuk mengoncang Real Madrid, sebagaimana yang didakwa oleh Presiden Perez."

"Sepanjang tempoh 75 tahun kewujudan akhbar ini, Marca sentiasa mempunyai hubungan yang rapat dan istimewa dengan Madrid. Dan dalam laporan kami itu, kami tidak menyebut pun yang para pemain memberi kata dua kepada pengurusan kelab sebaliknya apa yang kami sebut ialah beberapa pemain tidak berasa senang dengan sikap dan tindakan Mourinho ke atas mereka dan oleh yang demikian kapten pasukan telah memaklumkan kepada presiden kelab, seandainya Jose terus kekal sebagai jurulatih, ada kemungkinan beberapa pemain akan memohon kebenaran untuk meninggalkan kelab," tegas Oscar Campillo.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan