Skuad Penuh Harimau Muda A Ke Australi Diketahui Minggu Depan

Diterbitkan: Khamis, 10 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Skuad penuh 25 pemain Harimau Muda yang akan beraksi pada perlawanan persahabatan di Gold Coast, Australia, akan diumumkan selewat-lewatnya minggu depan.

Kunjungan ke negara 'Kanggaru' itu dari 23 Jan sehingga 6 Feb depan adalah sebahagian daripada persiapan awal pasukan berkenaan untuk mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan SEA di Myanmar, hujung tahun ini.

Ketua jurulatihnya Ong Kim Swee berkata beliau perlu melihat senarai kecederaan pemain selain menilai kembali prestasi kesemua pemain bagi memastikan mereka berada pada tahap terbaik.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perlawanan persahabatan antara pasukannya menentang Harimau Muda B di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini, hari ini yang menyaksikan pasukan bimbingannya mencatatkan kemenangan selesa 6-1.

Mengulas mengenai perlawanan berkenaan, Kim Swee memuji aksi anak didiknya namun tidak mahu mereka terlalu gembira dengan keputusan itu memandangkan mereka bakal berdepan cabaran lebih getir untuk mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA nanti.

"Dari segi perlawanan, kita berada di landasan yang betul dan lebih menggembirakan saya Syahrul Azwari dan A. ThamiL Arasu kembali pulih daripada kecederaan....jadi itu satu petanda positif untuk pasukan.

Skuad Harimau Muda A tidak akan beraksi dalam Liga Singapura dan tempat mereka akan diambil alih oleh Harimau Muda B.

Selepas perlawanan persahabatan di Australia, skuad itu dijangka akan mengadakan latihan selama lima bulan di Slovakia bermula 15 Mac hingga Ogos dengan dijadual mengadakan 15 perlawanan persahabatan.

Sekembalinya dari Slovakia, pasukan berkenaan dijangka menyertai Pestabola Merdeka dan Piala Thanh Nien. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan