Singapura Beri Kepercayan Musim Kedua Kepada Sundramoorthy

Diterbitkan: Isnin, 7 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas pemain antarabangsa Singapura, V.Sundramoorthy telah diberi tanggungjawab membimbing skuad Lions XII FC bagi menghadapi kempen Liga Malaysia (liga-M) untuk musim kedua berturut-turut.

Jurulatih itu, yang membawa skuad jemputan itu muncul naib juara Liga Super musim lepas, berjanji bahawa anak buahnya akan menampilkan persembahan yang lebih baik pada musim ini.

"Skuad Lions XII telah bekerja bersama-sama sebagai satu pasukan dan kami mengekalkan rekod tanpa kalah dalam persediaan pra musim...dan ini merupakan peluang cemerlang untuk menghadapi musim 2013.

"Kami sudah bersedia untuk Liga-M dan kami akan menunjukkan persembahan yang mantap dan konsisten dari perlawanan pertama lagi untuk semua peminat kami," katanya seperti dipetik oleh laman web pasukan itu, www.lionsxii.sg.

Lions XII akan membuka kempen dengan menentang pasukan baharu Liga Super, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan pada Rabu ini.

Sementara itu, Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) dan penaja utamanya, StarHub, hari ini memperkenalkan barisan 29-pemain Lions XII manakala NIKE menjadi jersi pasukan.

Gelanggang pasukan Singapura tersebut ialah Stadium Jalan Besar, Singapura.

Skuad tersebut, yang layak ke separuh Piala Malaysia musim lepas, terdiri daripada gandingan pemain muda dan berpengalaman.

Antara muka baharu ialah Fazrul Nawaz, Iqbal Hussain dan Hafiz Sujad dan mereka dijangka memberi nafas baharu serta sokongan kepada pemain lama seperti Hariss Harun, Irwan Shah dan Safuwan Baharudin, menurut lama web tersebut.

Senarai Pemain Lions XII Bagi musim 2013:

Izwan Mahbud, Khairulhin Khalid, Neezam Aziz, Syed Sufiyan, Faritz Hammed, Shakir Hamzah, Baihakki Khaizan, Madhu Mohana, Irwan Shah, Safuwan Baharudin, Ali Hudzaifi, Faris Azienuddin, Isa Halim, Gabriel Quak, Hafiz Sujad, Nazrul Nazari, Hariss Harun, Izzdin Shafiq, Raihan Rahman, Aqhari Abdullah, Zulfahmi Arifin, Safirul Sulaiman, Faris Ramli, Syafiq Zainal, Fazrul Nawaz, Shahril Ishak, Khairul Nizam, Iqbal Hussain, Shahfiq Ghani.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan