Insiden Ferdinand: Peminat Man City Diharamkan Masuk Stadium 3 tahun - Bola Sepak | mStar

Insiden Ferdinand: Peminat Man City Diharamkan Masuk Stadium 3 tahun

Diterbitkan: Sabtu, 5 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LONDON: Peminat kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City yang memasuki padang sebelum berkelahi dengan bintang Manchester United, Rio Ferdinand dalam perlawanan liga bulan lalu diharamkan menonton sebarang perlawanan untuk tempoh tiga tahun.

Matthew Stott, 21, yang terpaksa dihalang penjaga gol Manchester City, Joe Hart, kelihatan cuba menghampiri Ferdinand yang ketika itu mengalami kecederaan kecil selepas terkena lontaran syiling dari tempat duduk penonton.

Kekecohan yang tercetus pada saat akhir perlawanan adalah susulan daripada tindakan Ferdinand meraikan gol Manchester United yang dijaringkan Robin van Persie, seterusnya menganugerahkan kemenangan 3-2 ke atas juara EPL musim lalu.

Berdasarkan paparan televisyen, mahkamah mendapati Stott mengambil minuman alkohol secara berlebihan sebelum sepak mula antara kedua-dua pasukan jiran Manchester itu.

Stott yang bekerja sebagai pekebun landskap mengaku bersalah atas pertuduhan memasuki padang yang sedang digunakan untuk perlawanan dan menggunakan kata-kata kesat bertujuan menghina pihak lain ketika kejadian 9 Disember lalu. - AFP

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan