Rafa Benitez Sambut Kemunculan Tahun Baru Dengan Rekod Cemerlang

Diterbitkan: Khamis, 3 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

RAFA BENITEZ menyambut kedatangan tahun baru dengan semangat kental untuk mempertahankan rekod cemerlangnya sejak mengambil alih pengurusan Chelsea.

Chelsea akan berdepan dengan kelab tercorot QPR malam ini. Atas kertas ia nampak mudah tetapi barang diingat, QPR juga akan bermain mati-matian untuk membuka peluang mereka untuk terus hidup dalam Liga Perdana Inggeris.

Statistik menunjukkan, perlawanan malam ini antara dua kelab London itu lebih berpihak kepada Benitez.

Ia adalah perlawanan ke-26 liga buat Benitez ketika tahun baru dan dia hanya tewas tiga kali sepanjang tempoh tersebut.

Dan Benitez mengaitkan kejayaan tersebut dengan polisi mengilirkan pemain yang menjadi sinonim dengan sistem permainannya.

Pernah ketika mengemudi Liverpool, Benitez mengilirkan pemain dalam 99 perlawanan berturut-turut.

“Dulu apabila saya bercakap mengenai sistem ini, ada orang yang tidak faham mengapa saya melakukan demikian. Tetapi kini sedikit demi sedikit mereka telah melihat hasil daripada sistem pengiliran ini.

“Misalnya dalam perlawanan menentang Everton, saya merehatkan dua atau tiga pemain bagi membolehkan kaki yang segar turun ke padang. Hasilnya adalah kemenangan," katanya.

Menurut Benitez sistem ini bagaimanapun bukanlah satu sistem yang mudah untuk dilaksanakan kerana pemain yang telah bermain dengan cemerlang dalam perlawanan lalu mahu terus bermain dalam perlawanan seterusnya.

“Tetapi dengan begitu banyak perlawanan bersilih ganti sepanjang hujung tahun sehingga awal tahun baru, tidak ada pemain yang mampu terus bermain perlawanan demi perlawanan walaupun di hati mereka kata boleh," ujarnya lagi.

Ini termasuklah keputusan untuk merehatkan Fernando Torres yang telah bermain dalam kesemua 11 perlawanan sejak Benitez mengambil alih jawatan pengurus daripada Roberto Di Matteo.

Benitez menegaskan, akan tiba masanya beliau harus mencari masa yang sesuai untuk merehatkan Fernando Torres.

Sejak menyertai Chelsea dari Liverpool pada harga £50 juta dua musim lalu, Torres berhadapan dengan kemarau gol. Tetapi sejak kemunculan semula Benitez dalam hidup bolasepaknya, pemain Sepanyol itu telah menjaringkan tujuh gol dalam lapan perlawanan liga dan keseluruhannya 14 gol sepanjang musim ini dalam semua pertandingan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan