Chelsea Dijangka Umum Pembelian Demba Ba Dari Newcastle Dengan Bayaran Gaji £75,000 Seminggu

Diterbitkan: Khamis, 3 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Demba Ba
Demba Ba

CHELSEA bersiap sedia untuk mengumumkan pembelian penyerang sensasi Senegal,Demba Ba dari Newcastle United pada harga £7.5 juta dan pada masa yang sama melepaskan Frank Lampard ke Inter Milan.

Ba telah menyatakan persetujuannya untuk menyertai Chelsea dengan bayaran gaji sebanyak £75,000 seminggu.

Penyerang itu sebelum ini dibayar £45,000 seminggu oleh Newcastle. Rundingan untuk menambah gajinya dalam kontrak baru gagal mencapai sebarang persetujuan dengan pengurusan Newcastle.

Pengurus Newcastle, Alan Pardew mengesahkan perpindahan Ba dengan berkata: “Segalanya telah selesai, dia akan bermain untuk Chelsea dengan restu kami.”

Ba, 27, telah ke London malam semalam untuk meneruskan rundingan dengan Chelsea selepas menerima kebenaran Newcastle.

Chelsea ingin menyelesaikan rundingan tersebut sebelum Sabtu ini bagi membolehkan pemain itu disenaraikan dalam perlawanan pusingan ketiga Piala FA menentang Southampton.

Satu-satunya halangan yang menanti Ba sekarang sama ada dia akan melepasi ujian kecergasan dan perubatan.

Dua musim yang lalu perpindahannya ke Stoke City dari kelab Jerman gagal selepas pasukan perubatan ragu-ragu dengan keadaan lutut kanannya.

Tetapi selepas menyertai Newcastle, Ba tidak pernah ketinggalan dalam satu pun sesi latihan.

Ba menyertai kelab Utara England itu secara percuma dari West Ham selepas kelab berkenaan digugurkan dari Liga Perdana Inggeris pada 2011.

Dia bersetuju untuk menerima bayaran tetap mingguan sebanyak £20,000 dengan tambahan £25,000 lagi jika terpilih untuk bermain.

Ba juga akan menerima bonus daripada Newcastle sebanyak £2.5 juta jika perpindahannya ke Chelsea disahkan.

Sementara itu Lampard juga telah diberi lampu hijau untuk meninggalkan kelab London itu dalam tempoh pintu perpindahan bulan ini.

Setakat ini hanya Inter yang menunjukkan minat yang mendalam untuk mendapatkan khidmat pemain tengah England berusia 34 tahun itu sebagai penganti kepada Wesley Sneijder yang dijangka akan turut meninggalkan Inter pada bulan ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan