Wan Zack Haikal Bakal Terlepas Dua Aksi Menentang Thailand

Diterbitkan: Khamis, 6 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kecederaan teruk yang melanda pemain sayap kanan kebangsaan, Wan Zack Haikal Wan Nor memaksa ketua jurulatih skuad kebangsaan Datuk K. Rajagobal menggugurkan beliau dalam dua aksi separuh akhir Piala AFF Suzuki bertemu Thailand pada 9 dan 13 Dis ini.

Rajagobal berkata imbasan yang dilakukan oleh doktor pasukan pada Khamis mendapati terdapat koyakan teruk pada tisu otot kaki penyerang pasukan Harimau Muda A itu.

"Saya tidak mahu mengambil risiko dengan menyenaraikan Wan Zack Haikal pada kedua-dua perlawanan nanti terutamanya perlawanan separuh akhir pertama pada Ahad ini (di Stadium Nasional Bukit Jalil).

"Saya akui ketiadaan Wan Zack dalam pasukan kebangsaan merupakan kerugian besar kerana beliau telah mempamerkan persembahan menarik pada perlawanan peringkat kumpulan B," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, di sini, Khamis.

Jurulatih berusia 56 tahun itu berkata selain Wan Zack, beliau mungkin menggugurkan pemain tengah, Mohd Shakir Shaari yang belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan pangkal paha yang dialaminya ketika bertemu Indonesia pada perlawanan ketiga Kumpulan B, 1 Dis lepas.

"Bagaimanapun Mohd Safee Sali (yang mengalami kecederaan hamstring) mungkin boleh diturunkan untuk perlawanan menentang Thailand nanti namun saya perlu mendapatkan nasihat daripada ahli fisioterapi pasukan terlebih dahulu.

"Saya akui kehilangan ramai pemain utama dalam pasukan kita adalah sangat mengecewakan namun saya mahu para pemain yang mendapat peluang beraksi perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya ada pemain lain yang dilanda kecederaan," katanya.

Sementara itu, Mohd Safee berharap mampu pulih sebelum perlawanan separuh akhir pertama yang akan menjadi penentu kepada nasib skuad kebangsaan untuk mara ke peringkat akhir buat kali kedua berturut-turut selepas edisi 2010 di Indonesia.

"Kecederaan sehingga kini menunjukkan perkembangan positif kerana berdasarkan imbasan yang dilakukan oleh doktor pasukan hari ini, tahap kecederaan saya kini bertambah baik antara 50-70 peratus," kata penyerang kelab Arema-Pelita Jaya itu.

Pemain yang bakal beraksi selama semusim secara pinjaman bersama Johor itu berkata perlawanan menentang skuad Thailand atau lebih dikenali sebagai 'Changsuk' (Gajah Perang) sangat istimewa berdasarkan saingan sengit yang ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan dalam beberapa edisi Piala AFF sebelum ini.

"Saya menjangkakan perlawanan pada tahun ini mungkin lebih sengit namun saya berharap rakan sepasukan mampu menggunakan kelebihan bermain di laman sendiri untuk membawa bekalan selesa ke aksi separuh akhir kedua nanti," katanya.

Rakan sepasukan Mohd Safee iaitu Norshahrul Idlan Talaha pula berharap mampu menembusi kekebalan gawang Thailand yang hanya dibolosi dua gol setakat ini.

Sebagai rekod, kali terakhir Norshahrul atau dikenali sebagai 'Mat Yo' di kalangan rakan sepasukan menembusi gol lawan ialah ketika membantu pasukannya, Kelantan menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 2-1 pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, 20 Okt lepas.

"Saya sudah menemui rentak permainan seperti corak serangan bersama rakan sepasukan cuma masalahnya ialah untuk mencari gol.

"Mungkin disebabkan keinginan untuk menembusi gol lawan belum saya temui, justeru mungkin rezeki saya untuk menjaringkan gol belum tiba lagi" katanya.

Skuad kebangsaan akan bertolak ke Thailand pada Selasa depan untuk aksi separuh akhir kedua di Stadium Supachalasai, Bangkok pada 13 Dis ini. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan