Kelantan Perkenal Lima Pemain Baru Untuk Musim Depan

Diterbitkan: Isnin, 3 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) membariskan lima muka baru termasuk dua pemain import untuk saingan Liga Malaysia serta kejohanan Piala Konfederasi Asia musim depan.

Presidennya Tan Sri Annuar Musa berkata pemain tersebut ialah bekas kapten T-Team, Zairo Anuar Zailani dan rakan sepasukannya, Faiz Subri serta pemain Johor FC, Haris Safuan.

Sementara pemain import terdiri daripada pemain Sydney FC, Dmitrios Petratos, 23, yang bermain di Liga Australia (A League) serta Lek Kcira, 29, dari Croatia dan pernah bermain bersama kelab liga utama di Iran dan Croatia sebagai pemain pertahanan.

Dmitrios Petratos juga pernah bermain bersama skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun Australia dan bertindak sebagai penyerang, selain mewakili skuad Bawah 20 pada kejohanan Piala Dunia FIFA di Columbia.

"Ketua jurulatih (Bojan Hodak) akan menguji kemampuan sebenar Dmitiros sebelum meletakkan beliau untuk bermain di Liga Malaysia ataupun AFC.

"Lek Kcira pula akan didaftarkan di bawah kumpulan pemain dalam kejohanan AFC dan akan bertindak sebagai pemain pertahanan yang akan bergandingan dengan Obinna Nwaneri," katanya kepada pemberita pada sesi pengenalan pemain baru The Red Warriors, Isnin.

Annuar berharap penyertaan kelima-lima pemain tersebut dapat menyemarakkan lagi prestasi The Red Warriors musim depan bagi mempertahan kejayaan treble iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia musim ini.

Bagaimanapun persoalan sama ada penyerang prolifik negara Safee Sali yang uar-uarkan bakal menyarung jersi Kelantan masih menjadi tanda tanya.

"Boleh jadi Safee, mungkin juga Andik Vermansyah (Indonesia). Masing-masing ada peluang untuk bermain dengan Kelantan dan tunggu sahaja pengumuman rasmi pada 3 Jan depan," kata Annuar.

Sementara itu beliau berkata Kevin Ramalingan bakal dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif TheRedWarriors.com Sdn Bhd bagi menguruskan soal penajaan barangan The Red Warriors.

"Syarikat milik Kafa tersebut akan menyusun kembali penajaan dan antara berita gembira yang dapat saya khabarkan adalah Kelantan mendapat tajaan sekali ganda lebih musim hadapan berbanding 2012.

"Selain itu, Kelantan turut menerima undangan untuk bermain di Kejohanan Empat Negara dari 15 hingga 23 Dis ini di Indonesia sebagai persediaan pasukan untuk pramusim Liga Malaysia 2013," kata Annuar. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan