Piala Suzuki AFF: Kawalan Keselamatan Di Stadium Nasional Ditingkat - Bola Sepak | mStar

Piala Suzuki AFF: Kawalan Keselamatan Di Stadium Nasional Ditingkat

Diterbitkan: Sabtu, 1 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kawalan keselamatan di sekitar Stadium Nasional, Bukit Jalil yang menjadi venue perlawanan bola sepak Piala Suzuki Persekutuan Bola sepak Asean (AFF) dipertingkatkan pada Sabtu.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim berkata kementeriannya telah diberi taklimat berhubung kawalan keselamatan sempena AFF khususnya bagi perlawanan antara Malaysia dan Indonesia malam Sabtu.

"Bilik Operasi Polis dan Bilik Operasi Pengurusan Krisis juga akan dipertingkatkan operasinya bagi memantau kejadian-kejadian yang tidak diingini. Ia berdasarkan kepada jangkaan kita memandangkan jualan tiket untuk perlawanan itu sangat memberangsangkan," katanya dalam sidang akhbar di sini, Sabtu.

Turut hadir ialah Duta Besar Indonesia di sini, Herman Prayitno.

Antara langkah keselamatan lain yang diambil ialah menambah jumlah anggota keselamatan yang bertugas, katanya.

"Untuk perlawanan malam ini, pihak polis dan FRU akan mengerahkan sejumlah 1,230 orang pegawai dan anggota dan akan dibantu oleh 250 anggota Rela. Selain itu pegawai keselamatan stadium sendiri seramai 54 orang juga akan bertugas malam ini. Mereka akan mula bertugas bermula pukul 2 petang," katanya.

Razali berkata bagi mengurangkan kesesakan memasuki stadium, penonton akan dibenarkan memasuki stadium seawal pukul 4.30 petang walaupun waktu perlawanan hanya akan bermula pukul 8.45 malam.

Bagi melancarkan pergerakan penonton yang datang, Razali berkata pihak Perbadanan Stadium Negara juga telah menetapkan laluan khusus untuk penyokong kedua-dua buah negara.

Penyokong-penyokong pasukan Harimau Malaya boleh memasuki stadium melalui pintu hijau, merah dan kuning, manaka penyokong pasukan Indonesia melalui pintu biru dan ungu.

Sementara itu, Herman berkata sejumlah 14,000 tiket diperuntukan pihak penganjur kepada pihak Kedutaan Indonesia untuk dijual kepada penyokong pasukan Indonesia.

"Setakat ini sejumlah 3,000 tiket telah dijual dan kami jangka jumlah itu akan bertambah menjelang petang ini.

"Selain penyokong yang berada di Malaysia, saya jangkakan ramai juga yang akan datang dari Indonesia ke Kuala Lumpur untuk menyaksikan perlawanan ini," katanya. BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan