Penyokong Perlu Lebih Profesional Dan Tidak Emosi

Diterbitkan: Jumaat, 30 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penyokong pasukan bola sepak negara 'Harimau Malaya' perlu lebih profesional dan tidak emosi ketika memberikan sokongan mereka, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata Harimau Malaya memerlukan sokongan padu penyokong tempatan untuk mereka terus menampilkan persembahan terbaik ketika menentang Indonesia.

"Bagaimanapun, mereka (penyokong) perlu bersikap profesional. Mereka perlu terus memberi sokongan sehingga tamat perlawanan dan bukannya meninggalkan stadium, bila saja pasukan kita kalah.

"Janganlah hanya bersama pasukan kita bila menang dan mencemuh atau marah bila pasukan kita tewas. Sebaliknya mereka perlu terus memberikan sokongan walau dalam apa situasi sekalipun," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Jumaat.

Terdahulu, Ahmad Shabery bersama-sama timbalannya, Datuk Razali Ibrahim melakukan cabutan bertuah kepada pengunjung ruang pameran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sempena Persidangan Agung Umno.

Sebanyak 10 helai jersi baru 'Harimau Malaya', 15 biji bola rasmi kejohanan bola sepak Piala Suzuki AFF dan 200 tiket perlawanan Malaysia menentang Indonesia ditawarkan kepada pengunjung bertuah pada hari ini dan esok.

Mengenai aspek keselamatan penonton pada malam perlawanan Piala Suzuki AFF antara Malaysia dan Indonesia pada Sabtu, Ahmad Shabery berkata pihak penganjur telah memastikan keselamatan penyokong khususnya dari Indonesia dijaga.

"Soal keselamatan pemain, penyokong, tetamu kenamaan sudah menjadi prosedur operasi standard pihak stadium dan juga penganjur. Sekiranya perlu, kita akan tambah lagi aggota untuk mengawal," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan