Harimau Malaya Wajar Sasar Pertahan Piala AFF Suzuki - KP MSN

Diterbitkan: Isnin, 19 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menjelang sepak mula saingan kejohanan bola sepak Piala AFF Suzuki 2012 di Malaysia Ahad ini, skuad 'Harimau Malaya' wajar menyasar untuk kekalkan kejuaraan, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong.

"Selaku juara bertahan, tidak ada alasan untuk kita tidak meletakkan sasaran untuk mempertahankan kejuaraan kita.

"Berdasarkan kepada keputusan perlawanan persahabatan tidak begitu memuaskan. Ramai yang meragui kemampuan skuad negara... saya sendiripun melihat banyak yang perlu diperbaiki kerana saya tahu tahap kemampuan sebenar pemain.

"Apapun, kita harapkan berdasarkan pengalaman yang ada di kalangan pemain, kita berharap mereka dapat menunjukkan kemampuan sebenar mereka. Perlawanan pertama menentang Singapura (Ahad ini) di Stadium Nasional Bukit Jalil akan menentukan sejauh mana kemampuan pemain kita," katanya ketika diminta mengulas persediaan skuad Harimau Malaya dalam menghadapi saingan Piala AFF Suzuki.

Terdahulu, Zolkples menghadiri majlis menerima tajaan beberapa pihak untuk edisi kelima acara Sukan Media-MSN 2012 di Casa 1, MSN Bukit Jalil.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) segera menyelesaikan kemelut dalaman agar persediaan atlet tidak terjejas.

"Saya berharap kemelut dalaman PABM ini tidak berpanjangan, walaupun setakat ini ia tidak menjejaskan atlet.

"Jika perlu diadakan pemilihan, bertandinglah dengan berani sepertimana yang selalu kita katakan kepada atlet kita. Saya pasti yang terbaik akan dipilih kerana kita dalam sebuah negara yang demokrasi," katanya.

Bagaimanapun, Zolkples berkata beliau tidak akan campur tangan dalam isu itu kerana melibatkan kepentingan individu, dan bukan anggota gabungan.

Isnin lepas, Pesuruhjaya Sukan Datuk Mohd Yassin Mohd Salleh memberi tempoh kepada PABM sehingga akhir bulan depan bagi mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) persatuan itu.

PABM sepatutnya mengadakan AGM pada Mac lepas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan