50 Anak Muda Felda Dipilih Ke Akademi Cardiff City

Diterbitkan: Isnin, 12 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANGI: 1Malaysia Cardiff City (1MCC) telah memilih 50 pemain muda berusia bawah 18 tahun dari masyarakat Felda seluruh negara untuk mengikuti latihan dan pendedahan selama tiga minggu bersama Akademi Bolasepak Cardiff City di Wales, United Kingdom.

Daripada jumlah itu, 17 adalah daripada Akademi Felda manakala bakinya dipilih dari pelbagai tanah rancangan Felda di Kedah, Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan, Johor, Selangor dan Terengganu.

Pengerusi 1MCC Datuk Chan Tien Ghee berkata kunjungan itu bertujuan memberi peluang kepada pemain muda Malaysia merealisasikan potensi mereka selaras dengan falsafah 'Bola Sepak Untuk Semua'.

"Aspek yang lebih penting pada kunjungan ini adalah untuk pemain menyedari kerja keras dan standard tinggi yang diperlukan sebagai pemain profesional di luar negara," katanya Ahad.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Duta 1MCC, jurulatih kebangsaan Datuk K. Rajagobal, menyampaikan ceramah motivasi kepada pemain berkenaan di Institut Pembangunan Agrobank di sini.

Kumpulan pemain muda itu dijangka berlepas ke United Kingdom pada Khamis ini dan kembali semula ke tanah air pada 4 Disember ini.

Chan, yang juga Pengerusi Kelab Bolasepak Cardiff City, berkata kumpulan pemain itu akan mengikuti latihan bersama pemain muda kelab itu selain menyaksikan dua perlawanan antara Cardiff City menentang Middlesbrough dan Sheffied Wednesday.

Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Palong 11, Gemas, Mohd Aidil Ikmal Mohd Ramli, 16, peluang mengikuti lawatan itu akan diguna sebaik mungkin untuk menimba pengalaman berguna.

"Saya amat bangga kerana dipilih dan berharap mampu menpelajari teknik bermain bola dengan lebih mendalam di sana," katanya.

Pandangan Mohd Aidil dipersetujui rakannya Mohamad Nor Ikmal Khatim, 16, yang menyifatkan ia peluang terbaik buat dirinya untuk mempelajari selok-belok menjadi pemain profesional.

Muhammad Izzudin Ibrahim, juga 16, dan dari sekolah sama pula mahu mengembangkan bakat bola sepak hasil daripada program itu.

"Saya mahu menjadi ikon bola sepak pada suatu hari nanti," jelasnya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan