Malaysia Kalah 0-1 Kepada Vietnam Dalam Perlawanan Persahabatan

Diterbitkan: Sabtu, 3 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak kebangsaan kalah 0-1 kepada Vietnam pada perlawanan persahabatan antarabangsa 'A' di Stadium My Dinh, Hanoi, Sabtu.

Pada perlawanan itu, pasukan tuan rumah melancarkan serangan bertali arus ke kubu skuad kebangsaan sebaik sahaja permainan bermula namun trio pertahanan negara iaitu Mahalli Jasuli, Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Mohd Fadhli Mohd Shas berjaya mematahkan setiap percubaan mereka.

Bersambung separuh masa kedua, ketua jurulatih kebangsaan Datuk K. Rajagobal membuat beberapa pertukaran termasuk mengeluarkan dua pemain penyerang iaitu Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Safee Sali dan memasukkan Baddrol Bakhtiar dan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak bagi mempertajamkan bahagian serangan namun masih gagal menembusi pertahanan Vietnam.

Pasukan tuan rumah akhirnya membuka tirai jaringan pada minit ke-73 menerusi penyerang mereka, Nguyen Trong Hoang yang memanfaatkan hantaran sebelah kanan daripada rakan sepasukan untuk menewaskan penjaga gol skuad kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.

Kedua-dua pasukan kemudian berusaha untuk mencari gol namun ketumpulan di barisan hadapan menyaksikan keputusan itu kekal sehingga tamat permainan.

Perlawanan itu merupakan kekalahan kedua dicatat skuad kebangsaan selepas tewas 0-2 kepada pasukan sama pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, 11 Sept lepas.

Skuad Harimau Malaya bakal berdepan dengan Thailand pada aksi persahabatan kedua di Stadium 700th Anniversary, Chiang Mai, Rabu ini sebelum berlepas pulang ke tanah air untuk aksi persahabatan terakhir menentang Hong Kong di Stadium Shah Alam pada 14 Nov.

Pada Kejohanan Piala AFF Suzuki yang bermula 23 Nov ini, skuad kebangsaan yang diundi dalam kumpulan B bakal berdepan Singapura pada 25 Nov, bertemu Laos pada 28 Nov sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang Indonesia pada 1 Dis.

Kesemua perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil. BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Malaysia , Vietnam , Stadium My Dinh , Hanoi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan