Pengadil Clattenburg Mula Disiasat FA

Diterbitkan: Rabu, 31 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Obi Mikel (kanan) tidak berpuas hati dengan pengadil Clattenburg ketika aksi bertemu Man United.
Obi Mikel (kanan) tidak berpuas hati dengan pengadil Clattenburg ketika aksi bertemu Man United.

KONTROVERSI perlawanan di antara pasukan Manchester United dan Chelsea pada Ahad lalu berterusan selepas Persatuan Bola Sepak (FA) England memulakan siasatan berhubung dakwaan pengadil Mark Clattenburg menggunakan kata-kata kesat ke atas dua pemain Chelsea ketika perlawanan bertemu Manchester United, awal pagi Isnin lalu.

Akhbar British melaporkan kata-kata yang keluar daripada mulut Clattenburg termasuklah berbentuk cacian perkauman yang ditujukan kepada pemain tengah Chelsea dari Nigeria, John Obi Mikel.

Pemain lain yang terbabit adalah pemain tengah dari Sepanyol, Juan Mata.

Chelsea mengemukakan aduan secara rasmi kepada delegasi Liga Perdana Inggeris dan laporan itu diserahkan kepada FA kelmarin.

“FA sudah memulakan siasatan membabitkan peristiwa yang berlaku pada perlawanan di Stamford Bridge antara Chelsea dan Manchester United.

“FA tidak akan memberikan sebarang komen lagi pada masa ini,” jelas kenyataan FA.

Tindakan Clattenburg melayangkan kad merah dua pemain Chelsea, selain membenarkan gol kemenangan United yang ofsaid sekali gus menyaksikan kekalahan 2-3 juara Eropah itu di Stamford Bridge.

Bagaimanapun pengadil berusia 37 tahun itu bersedia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa FA selepas dakwaan itu semakin mendapat perhatian ramai.

Clattenburg mungkin akan disoal siasat oleh pegawai FA bersama-sama Mikel dan Mata serta beberapa saksi lain.

Bukti yang diserahkan oleh rakan setugas Clattenburg dijangka menjadi elemen penting dalam siasatan itu kerana keempat-empat pengadil itu sudah pasti berkomunikasi antara satu sama lain menerusi mikrofon dan alat pendengar telinga sepanjang perlawanan itu.

Ejen Mikel, Chelsea dan United semuanya enggan memberi komen lebih lanjut mengenai insiden itu, begitu juga dengan Mata.

Sementara itu, Lembaga Pegawai Perlawanan Profesional (PGMO) yang menguruskan pengadil di Liga Perdana Inggeris mengesahkan Clattenburg tidak akan mengadili mana-mana perlawanan hujung minggu ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan