Persatuan Jaga Kebajikan Pemain Bola Sepak Perlu Diwujudkan - Hamidin

Diterbitkan: Jumaat, 19 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

HULU SELANGOR: Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mencadangkan agar pemain dan bekas pemain tempatan segera menubuhkan sebuah persatuan bagi memastikan kebajikan mereka terjamin pada masa depan.

Beliau berkata ketiadaan persatuan seumpama itu pada masa ini menyebabkan pemain dan bekas pemain terpaksa mengharapkan bantuan daripada pihak luar jika diserang penyakit atau menghadapi kesempitan hidup.

"Kewujudan persatuan ini secara tidak langsung akan membantu pemain dan bekas pemain pada masa hadapan," katanya selepas menyerahkan bantuan kewangan berjumlah RM15,604 kepada bekas pemain Selangor Mohd Ezmi Md Jan yang menghidap penyakit kanser hidung di rumahnya di Kampung Sentosa, Batang Kali, dekat sini, Khamis.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM10,000 disumbangkan FAM manakala bakinya oleh FAS hasil kutipan tiket perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Selangor dan Kelantan di Stadium Shah Alam, pada 12 Oktober lepas.

Hamidin berkata pihaknya akan terus membuat pemantauan bagi memastikan bekas pemain berusia 35 tahun itu, yang pernah mewakili Perlis pada awal 2000 menerima rawatan susulan yang sewajarnya. "Saya selaku Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sealgor (FAS) akan melihat apa yang patut dilakukan untuk membantu merawat penyakit bekas pemain ini termasuk mendapatkan bantuan doktor pakar dari dalam ataupun luar negara," katanya.

Cadangan Hamidin itu turut disokong jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) B. Sathianathan yang melahirkan keyakinan bahawa penubuhan persatuan itu adalah penting demi masa depan pemain tempatan.

"Saya harap kita mampu mewujudkan sebuah persatuan seperti mana di England yang mempunyai persatuan pemain bola sepak profesional bagi membantu pemain yang menghadapi masalah kesihatan dan sebagainya," kata beliau.

Beliau yang hadir secara berasingan bersama pegawai dan pemain ATM turut menyerahkan bantuan kewangan daripada pasukan tersebut hampir RM3,000 kepada Mohd Ezmi.

Sementara itu, bapa Mohd Ezmi, Md Jan Nipang, 66, berterima kasih di atas bantuan kewangan tersebut yang dapat mengurangkan bebanan kewangan untuk rawatan susulan penyakit anaknya itu yang mencecah puluhan ribu ringgit.

Mengulas mengenai penyakit anak sulungnya daripada lima beradik itu, Md Jan yang bekerja sebagai pemandu lori berkata ia bermula sejak 2010 menyebabkan anaknya terlantar di rumah.

"Anak saya (Mohd Ezmi) pernah mendapatkan rawatan di beberapa hospital swasta namun penyakitnya tidak juga sembuh sedangkan banyak duit telah digunakan untuk proses rawatan tersebut," katanya yang mengharapkan Mohd Ezmi kembali pulih pada masa akan datang. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan