Kelantan Masih Berbisa Tanpa Ghaddar Dan Nurfarhan - Sathianathan

Diterbitkan: Selasa, 16 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) B. Sathianathan tidak memandang rendah kekuatan pasukan Kelantan walaupun mereka bakal turun tanpa dua tonggak utama pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Dua pemain Kelantan iaitu Mohamed Ghaddar Mahmoud dan Nurfarhan Muhammad tidak akan beraksi pada Sabtu ini selepas masing-masing mengutip dua kad kuning pada saingan separuh akhir bertemu Selangor, Jumaat lepas.

Sathianathan berkata Kelantan, yang dianggap pasukan terbaik ketika ini, masih mempunyai beberapa pemain yang mampu mengisi dua kekosongan itu iaitu Indra Putra Mahayuddin, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Afiq Azmi.

"Sekiranya Kelantan menggantikan Mohamed Ghaddar dengan Indra Putra, saya yakin bahagian pertahanan kita mungkin susah mengawal beliau (Indra Putra) yang agak pantas ketika berada di atas padang," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan pasukan ATM di Kompleks Sukan Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang, dekat sini, Isnin.

Pada masa sama, Sathianathan menolak andaian yang mengatakan pasukan bimbingannya mempunyai peluang cerah untuk muncul juara Piala Malaysia pada tahun ini berdasarkan rekod beliau yang pernah membimbing Kelantan muncul juara pada 2010.

"Kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang cerah namun saya lebih melihat pasukan yang tidak begitu tertekan dan kurang melakukan kesilapan pada perlawanan akhir nanti akan muncul juara," katanya.

Mengulas mengenai ketiadaan pemain pertahanan mereka iaitu Irwan Fadli Idrus yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan untuk aksi persahabatan menentang Hong Kong minggu ini, Sathianathan berkata beliau sedang menilai beberapa pemain yang berpotensi seperti K. Reuben dan Mohd Azmi Muslim.

Pandangan Sathianathan itu turut dipersetujui oleh kapten pasukan Hairuddin Omar yang menjangkakan mereka bakal menghadapi satu perlawanan yang sengit.

"Walaupun Kelantan bakal turun tanpa dua pemain tersebut, mereka masih mempunyai ramai lagi pemain yang mempunyai skil individu yang bagus.

"Kalau mengikut rekod menentang Kelantan pada dua perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia sebelum ini pun, mereka turun bermain menentang kita tanpa khidmat dua pemain tersebut dan keputusan masih tidak berpihak kepada kita," katanya.

Ditanya mengenai sasaran beliau pada pentas final Piala Malaysia tahun ini, anak jati Terengganu itu berazam untuk menjaringkan gol sebanyak mungkin bagi membantu juara Liga Perdana itu muncul juara untuk kali pertama.

Untuk rekod, Hairuddin pernah membantu negeri kelahirannya muncul juara Piala Malaysia pada 2001, Negeri Sembilan pada 2009 dan 2011 serta Kelantan pada 2010. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan