Piala Malaysia: Sathia Mahu Pemain Fokus, Elak Sentimen Peribadi

Diterbitkan: Khamis, 11 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Marlon (kanan) dikawal pemain Lions XII, Baihakki Khaizan ketika perlawanan pertama separuh akhir di Stadium Jalan Besar, Singapura minggu lalu. Foto: ABDUL RAHMAN EMBONG/The Star.
Marlon (kanan) dikawal pemain Lions XII, Baihakki Khaizan ketika perlawanan pertama separuh akhir di Stadium Jalan Besar, Singapura minggu lalu. Foto: ABDUL RAHMAN EMBONG/The Star.

SHAH ALAM: KETUA jurulatih pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) B. Sathiananthan tidak mahu menjadikan perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia bertemu Lions XII sebagai sentimen peribadi.

Bekas jurulatih kebangsaan itu ternyata tidak gembira sekiranya perlawanan penting ini dijadikan sebagai sentimen lain yang boleh mendatangkan emosi tidak baik kepada pemain-pemainnya.

"Saya tidak mahu dengar 'kita mesti menang lawan dengan Singapura' kerana itu adalah satu gambaran jelas yang melibatkan emosi tersendiri.

"Bagi saya tidak kira dengan siapa kita bertemu sama ada pasukan negeri atau kelab, semua pemain perlu fokus. Bukan dengan pasukan Singapura. Semuanya sama sahaja.

"Kalau kita bermain ikut emosi, saya percaya, perjalanan permainan itu tidak akan lancar mengikut perancangan yang dibuat," katanya selepas sidang media pasukan bersama media sempena separuh akhir kedua Khamis ini.

Sathia berkata, aksi malam esok adalah sangat penting kerana ia bakal memberi membawa pasukan ke final malah kelebihan satu gol ketika pertemuan pertama minggu lalu tidak boleh dianggap selesa.

"Ia keputusan baik, namun harus ingat, kalau lawan jaringkan gol, dia lebih. Kalau kita 2-1, kami menang tetapi kalau seri 2-2 dia akan menang.

"Kelebihan kita hanyalah memiliki satu gol. Saya pasti mereka akan melakukan serangan, namun saya akan cuba pastikan semua pemain akan mengawal permainan.

Skuad ATM membawa bekalan satu gol ketika aksi separuh akhir pertama hasil daripada jaringan penyerang prolifik, Marlon Alex James yang kini telah mengumpul 10 jaringan dalam kejohanan ini.

Apa yang lebih menarik, sekiranya skuad ATM yang dipengerusikan oleh Jeneral Tan Sri Datuk Sri Zulkifeli Mohd Zin ini mara ke final, ia sekaligus bakal menamatkan penantian 46 tahun beraksi pada final Piala Malaysia.

Kali terakhir ATM mara ke pentas akhir ialah pada tahun 1966 ketika kejohanan ini dikenali sebagai Piala Malaysia, namun tewas kepada Selangor, 1-0.

Biarpun sedar misi ini bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan skuad Lions XII juga mahu membawa pulang trofi menyeberangi Tambak Johor seperti mana yang dilakukan pada tahun 1994.

Tumpuan utama pastinya terarah kepada penjaga gawang, Mohd Farizal Harun yang telah banyak menyelamatkan pintu gol sebelum ini dengan serangan lawan, dibantu oleh pemain pertahananan, Aidil Zafuan Abd Razak.

Bahagian tengah pula, tenaga Bruno Sebastian Martelotto ditagih bagi membantu jentera serangan yang dibarisi Christie, Hairuddin Omar, Zakuan Adha Abd Radzak serta Marlon untuk menggegar gol lawan.

Sekiranya tuah berpihak kepada ATM pada aksi ini, mereka bakal berdepan dengan pasukan Kelantan ataupun Selangor pada final 20 Oktober ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan