T-Team Diurus Lebih Profesional Musim Depan

Diterbitkan: Ahad, 7 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

HULU TERENGGANU: Pengurus T-Team, Rozi Mamat menyatakan hasrat mahu melepas jawatannya di musim depan untuk memberi laluan kepada pihak yang lebih berpengalaman dan profesional menguruskannya.

Namun beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Terengganu menegaskan beliau tetap akan memantau pasukan Penyu Muda itu sebagai sebahagian daripada tugasnya memajukan sukan di Terengganu.

"Tambahan pula kerajaan negeri memberikan dana kepada T-Team, jadi saya akan terus membantu pasukan ini untuk maju ke hadapan. Kerajaan negeri berharap pasukan T-Team pada masa akan datang ada badan-badan profesional atau individu yang lebih profesional mengurus pasukan ini," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak akan selama-lamanya memayungi T-Team dan ia perlu belajar untuk berdikari.

Rozi berkata, T-Team akan membuat rombakan besar-besaran termasuk mengenai sistem pengurusannya yang akan diuruskan satu badan khas yang dilantik kerajaan negeri.

T-Team kini diuruskan Majlis Sukan Negeri Terengganu.

Katanya, mulai tahun depan, pasukan itu akan bergerak ke arah lebih profesional dan terbuka serta mengikut corak pengurusan pasukan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Beliau berkata, T-Team sedang memanggil dan mencuba beberapa pemain berpotensi untuk di serap musim depan dengan menyenarai 25 pemain. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan