Che Mat Tidak Akan Berundur Sebagai Presiden PBSNT

Diterbitkan: Isnin, 1 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Che Mat Jusoh hari ini menegaskan beliau tidak akan berundur walaupun didesak melepaskan jawatan.

Malah, beliau akan tetap meneruskan tanggungjawabnya sebagai presiden persatuan itu dan akan berusaha melakukan penambahbaikkan kepada persatuan itu dan pasukan bola sepak Terengganu, demi kemajuan sukan itu.

"Saya tidak mahu berkelahi dengan sesiapa, yang penting macam mana kita hendak naik semua pasukan dalam Liga Super musim depan," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Semalam, kira-kira 500 orang penyokong setia Sang Penyu mengadakan perhimpunan secara aman di Dataran Pantai Batu Buruk bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap PBSNT.

Dalam perhimpunan hampir sejam itu mereka mendesak kepimpinan PBSNT dirombak dan ditukar dengan muka baharu.

Sebelum ini, penyokong itu turut mengadakan kempen bagi mendesak pengunduran Che Mat dengan menampal poster gambar beliau di merata-rata tempat, yang ditulis perkataan ABC yang membawa maksud, 'Asal Bukan Che Mat'.

Menurut Che Mat usaha penambahbaikan dalam PBSNT memerlukan masa dan desakan tidak akan membantu memulihkan prestasi pasukan negeri.

"Sekarang ini pun, pimpinan PBSNT terutamanya pengurusan pasukan tahun depan akan diterajui muka-muka baru dan kita akan bawa masuk mereka yang mampu membantu kita.

"Siapa yang tidak mahu menang, tetapi adat permainan, ada ketika berada di atas dan ada ketika berada di bawah .. itulah bola sepak," katanya sambil menambah beliau memberi kepercayaan penuh terhadap pengurusan baharu skuad itu demi kemajuan skuad Penyu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan