PBSNT Tolak Rayuan Butler Kerana Tiada Merit

Diterbitkan: Jumaat, 28 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) pada Khamis menolak rayuan yang dikemukakan oleh Peter James Butler berhubung keputusan Jawatankuasa Tatatertib PBSNT mengenakan hukuman gantung selama enam bukan terhadap bekas jurulatih negeri itu.

Jawatankuasa Rayuan PBSNT, yang bersidang di sini, menolak permohonan rayuan jurulatih berbangsa Inggeris itu dengan alasan ia tidak berasas dan tidak ada merit.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Mat Yusoff Mohamed berkata selepas menimbang alasan yang dikemukakan dalam rayuan itu, pihaknya berpendapat keputusan Jawatankuasa Tatatertib itu adalah betul dan tepat.

"Bagaimanapun, beliau (Butler) boleh mencabar keputusan PBSNT dengan membuat rayuan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam masa tujuh hari mulai hari ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu yang turut dihadiri oleh Setiausaha PBSNT, Abdullah Salleh.

Pada 17 Sept lepas, Jawatankuasa Tatatertib PBSNT memutuskan untuk menggantung Butler selama enam bulan dan mengenakan denda RM4,000.

Butler dikenakan hukuman itu kerana mengeluarkan kenyataan kepada media berhubung dakwaan salah laku dua pemain Terengganu membawa wanita masuk ke bilik mereka tanpa terlebih dahulu melaporkannya kepada pihak pengurusan.

Butler ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa itu berkata beliau tidak berpuashati dengan keputusan PBSNT. "Saya akan mengemukakan rayuan kepada FAM dalam masa tujuh hari. Saya sudah berkhidmat di rantau ini sejak 10 tahun lepas dan saya sentiasa melakukan apa yang terbaik untuk pasukan," katanya, yang mana kontrak beliau bersama PBSNT ditamatkan berikutan hukuman penggantungan itu. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan