John Terry Didapati Bersalah & Berhadapan Kos Guaman Yang Tinggi

Diterbitkan: Jumaat, 28 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KAPTEN Chelsea, John Terry bukan sahaja didapati bersalah oleh Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris berhubung kata-katanya yang berbaur perkauman yang dilemparkan ke atas pemain QPR Anton Ferdinand malah kini berhadapan dengan kos guaman dan perbicaraan yang tinggi iaitu dianggarkan berjumlah £800,000.

Semalam FA Inggeris menjatuhkan hukuman gantung empat perlawanan dan denda sehingga £220,000 ke atas bekas kapten England itu.

Dan akhbar The Sun Britain melaporkan, Chelsea telah pun memutuskan yang mereka tidak akan membayar apa-apa untuk meringankan bebanan Terry.

Terry, 31, sebelum ini dikatakan terpaksa menanggung kos perbicaraan sehingga £400,000 ketika kes yang sama didengar di mahkamah awam.

Dalam perbicaraan itu beliau didapati tidak bersalah dan dibebaskan dari sebarang hukuman.

Dalam perbicaraan kes yang sama oleh FA Inggeris, kos perbicaraan itu dianggarkan berjumlah £200,000.

Dan sekiranya Terry berhasrat untuk membuat rayuan ke atas hukuman yang dijatuhkan oleh pihak FA, bil guaman dan perbicaraannya akan bertambah.

Terry kini mempunyai tempoh 14 hari untuk membuat rayuan.

Denda dan hukuman gantung permainan yang dikenakan ke atasnya akan ditunda sehingga kes rayuannya didengar (jika dia berhasrat untuk membuat rayuan).

Tetapi sekiranya dia kalah dalam kes rayuannya itu, ada kemungkinan FA akan menambah hukuman ke atasnya lagi.

Terry telah pun mengumumkan persaraannya daripada tugas antarabangsa pada Ahad lepas.

Sebelum itu, Julai lalu, Mahkamah Majistret Westminster mendapati dia tidak bersalah atas dakwaan mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman kepada Ferdinand, 27, ketika Chelsea bertemu QPR dalam perlawanan liga Oktober tahun lalu.

Terry mengaku di mahkamah bahawa dia ada mengeluarkan kata-kata kesat tetapi bukannya menghina Ferdinand kerana warna kulitnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan