Penyokong Setia Penyu Mahu Masalah Diselesaikan Segera

Diterbitkan: Selasa, 4 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Muak dan bosan dengan prestasi hambar selain dihambat kontroversi, peminat setia skuad Terengganu mahu semua isu diselesaikan segera termasuk meminta Menteri Besar Terengganu campur tangan.

Mereka mahu Penyu kesayangan mereka kembali fokus kepada saingan Piala Malaysia yang masih pada peringkat awal kelayakan. "Kami sayangkan pasukan Terengganu dan kami berharap isu berbangkit diselesaikan segera bagi mengembalikan keyakinan peminat," kata seorang penyokong Zahidi Wahid, ketika ditemui Bernama sini.

Zahidi, 43, turut meluahkan rasa kesal kerana pasukan itu gagal memanfaatkan ramai pemain berbakat yang ada dan mereka hanya memanaskan bangku simpanan.

"Saya percaya mereka ini mampu memberikan aksi terbaik dan mempamerkan aksi yang kosisten dengan kemampuan serta kebolehan pemain kerana ada di antara pemain muda kita pernah mewakili negara," katanya. Skuad Penyu yang mempamerkan prestasi tidak konsisten pada saingan Piala Malaysia kali ini dihambat kontroversi selepas dua pemain tonggak disingkir jurulatih Peter James Butler atas alasan disiplin.

Pemain pertahanan Muslim Ahmad dan pemain tengah Ismail Faruqi Asha'ri dikatakan melanggar peraturan termasuk pulang ke bilik penginapan awal pagi ketika skuad Penyu bertandang ke Alor Setar tempoh hari.

Tatkala isu itu masih hangat diperkatakan, penjaga gol utama pasukan Ahmad Sharbinee Allawee Ramli pula 'buat hal' apabila melepaskan gol mudah ketika bertemu Kedah di laman sendiri Sabtu lepas, dan mengikat kedudukan 1-1.

Insiden mencetuskan kemarahan Butler yang bertindak mengeluarkan beliau daripada perlawanan.

Tindakan Butler itu bagaimanapun disokong peminat Penyu yang berpandangan kesilapan sedemikian pernah dilakukan Ahmad Sharbinee pada perlawanan lain sebelum ini.

"Sebagai seorang pemain profesional serta status penjaga gol kebangsaan, beliau tidak seharusnya melakukan kesilapan mudah seperti itu apatah lagi ketika pasukan berada dalam keadaan genting," kata Hasmadi Hasin, 42.

Katanya sebagai peminat beliau akur adat permainan yang ada menang dan kalah, namun tegasnya biarlah kalah secara terhormat.

Hasmadi turut menggesa Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu mengubah pemikiran bagi memastikan skuad 'Peteh Ganu Peteh' kembali digeruni lawan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan