Ragbi Asia 7S: Jepun Kekal Gelaran Juara Asia

Diterbitkan: Isnin, 3 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Jepun berjaya mempertahankan kejuaraan Ragbi Asia Tujuh Sebelah 2012 selepas mengatasi Hong Kong pada perlawanan akhir di Kompleks Stadium Likas di sini, Ahad.

Walaupun ketinggalan 12-17 pada separuh masa, Jepun bangkit semula pada sesi kedua dengan empat 'try' dan tiga 'conversion' untuk mencapai kemenangan tipis 33-22 pada perlawanan 20 minit itu.

Jurulatih Jepun, Tomohiro Segawa berkata beliau yakin dapat mengekalkan kejuaraan dengan corak persembahan anak buahnya yang begitu membanggakan.

Walaupun pasukan Hong Kong amat berpengalaman tetapi saya yakin sekiranya dapat menguasai bola dan terus melakukan serangan, kata Segawa sambil berterima kasih kepada penyokong dan peminat pasukannya itu.

Sebelum itu, dalam perlawanan akhir Kejohanan Ragbi Wanita Asia Pasifik Tujuh Sebelah, pasukan Australia, yang melakukan penampilan pertama, mengalahkan Jepun 36-17.

"Ia menunjukkan watak sebenar Australia dan semangat jitu pemain yang saya harapkan sebelum perlawanan. Standard kejohanan ini sangat kompetitif dan standard ragbi Asia amat mengagumkan terutamanya etika kerja semua pasukan," kata jurulatih Australia Chris Lane.

Pada saingan separuh akhir, Australia melakukan kejutan dengan mengalahkan juara bertahan Papua New Guinea 12-7 dan Jepun melangkah ke final dengan menumpaskan Hong Kong 38-0.

Sementara itu, dalam siri Ragbi Asia 7s 2012, pasukan Malaysia hanya menduduki tangga ke-10 selepas kalah 12-19 kepada Sri Lanka pada perlawanan penentuan tempat.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan