Program 'Road To Rio 016' Bakal Terima Peruntukan Khas - Ahmad Shabery

Diterbitkan: Ahad, 2 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR GAJAH: Kementerian Belia dan Sukan bakal memperoleh peruntukan khas untuk program 'Road to Rio 2016' dalam usaha meraih pingat emas pertama Malaysia pada temasya Olimpik di Brazil.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata perkara itu dipersetujui pada mesyuarat Kabinet baru-baru ini, yang menggambarkan kesungguhan kerajaan untuk melihat Malaysia lebih cemerlang pada Sukan Olimpik akan datang.

Beliau berkata bajet RM20 juta untuk 'Road to Rio 2016' sebelum ini merupakan sebahagian peruntukan sedia ada kementerian tersebut itu bagi program menyeluruh pembangunan sukan di negara ini.

Justeru, katanya, melalui peruntukan khas itu, program pembangunan sukan tidak akan terjejas dengan kewujudan 'Road to Rio 2016'.

"Kita kena belajar bahawa ada kaitan soal peruntukan, kekuatan kewangan dalam menjamin kejayaan akan datang, jika kita lihat Greece yang menjadi negara pengasas Olimpik, apabila negara itu mengalami masalah ekonomi, mereka mendapat dua gangsa sahaja, jauh lebih teruk daripada kita," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Ahmad Shabery berkata pihaknya akan menyediakan satu laporan terperinci selepas temasya Paralimpik di London ini untuk mengemukakan cadangan dan langkah bagi menjamin prestasi baik di Rio.

Dalam pada itu, beliau berkata Kabinet bersetuju membuka pemberian taraf penduduk tetap (PR) kepada jurulatih asing dan keluarga mereka.

"Kita tidak mahu mengambil model negara jiran yang memberikan hak kewargenegaraan (kepada atlet asing) untuk bertanding, ini langkah jangka pendek yang tidak beri kesan jangka panjang, tetapi kalau kita beri hak (PR) kepada jurulatih, mereka boleh melatih lebih ramai atlet sehingga generasi akan datang," katanya.

Sementara itu, Ahmad Shabery menyambut baik saranan penyerang kebangsaan Safee Sali supaya persatuan pemain bola sepak profesional diwujudkan bagi menjaga kebajikan dan memastikan hak pemain dibela, jika berdepan sebarang masalah.

Safee membuat saranan itu berikutan kemelut dua pemain Terengganu, Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi Asha'ri, yang didakwa membawa masuk wanita ke bilik hotel di Alor Setar, Selasa lepas.

Mengulas isu kedua-dua pemain, Ahmad Shabery berkata perkara itu perlu diselesaikan di peringkat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu.-BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan